Ikuti Kami:

10 Vokalis Legenda: Dari Gamma ke Scan Bersatu di Pentas Rockestra

10 Vokalis Legenda: Dari Gamma ke Scan Bersatu di Pentas Rockestra

Sepuluh vokalis legenda era 90-an bakal bersatu semula dalam satu pentas bersejarah menerusi Konsert Jelajah Nostalgia Rockestra 90’an yang bakal berlangsung pada 27 September 2025 di RCDbig Studio, Plaza Alam Sentral, Shah Alam.

Konsert ini menghimpunkan nama-nama besar dalam industri rock tanah air seperti Blank (Gamma), Aan (Ways), Burn (Meditasi), Renggo (Arrow), Isa (Gravity), Azan (Scan), Shafie (Rio), Afee (Utopia), Wom (UG14) dan Aju (Success).

Kesemua mereka pernah mencipta fenomena tersendiri dengan lagu-lagu malar segar yang masih terpahat dalam memori peminat.

Menurut wakil penganjur, Cik Intan Madura daripada 211 Event Empire, konsert ini merupakan impian lama yang akhirnya direalisasikan pada waktu paling tepat.

“Konsert ini sebenarnya sudah lama dalam perancangan, cuma kami menunggu masa yang paling sesuai untuk dilancarkan, dan hari ini adalah waktunya,”

“Sekarang ini musim konsert sedang rancak, khususnya melibatkan artis-artis dari negara seberang. Jadi kami tampilkan pula barisan artis tempatan yang tidak kurang hebatnya untuk beri pilihan kepada peminat muzik tanah air,” katanya.

Tambahnya, konsert ini adalah pembuka tirai kepada siri jelajah yang lebih luas.

“Dalam rangka promosi kami, beberapa lokasi jelajah telah ditetapkan termasuk Johor, dan insya-Allah Sabah dan Sarawak. Malah ada perancangan untuk promosi ke Aceh juga,”

“Sama ada jadual itu sudah muktamad atau masih dalam peringkat benchmark bergantung kepada sambutan yang kami terima. Tapi insya-Allah, kami optimis.” katanya.

Pihak penganjur juga yakin konsert ini bukan sahaja akan menarik perhatian peminat setia generasi terdahulu, tetapi turut mendapat sambutan daripada generasi muda.

Ini kerana lagu-lagu yang bakal dipersembahkan adalah antara lagu wajib karaoke yang masih dimainkan sehingga hari ini.

“Walaupun artis-artis ini berasal dari era 90-an, lagu-lagu mereka tetap relevan dan menjadi pilihan ramai bila ke pusat karaoke. Jadi, kami percaya golongan muda juga akan teruja menyaksikan persembahan live dari penyanyi asal,” katanya.

Menariknya, persembahan kali ini bukan sekadar nyanyian biasa. Ia bakal diserikan dengan iringan Orkestra Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang memberikan sentuhan simfoni kepada lagu-lagu rock klasik, mencipta pengalaman unik dalam konsep rockestra, gabungan rock dan orkestra penuh energi dan emosi.

RCDbig Studio, Plaza Alam Sentral dengan kapasiti 1,200 penonton, dipilih sebagai lokasi pembuka tirai konsert jelajah ini.

Bagi yang tidak dapat hadir secara fizikal, konsert turut ditawarkan dalam bentuk penstriman langsung bagi memastikan peminat dari seluruh negara tidak terlepas peluang menyaksikan kebangkitan semula barisan otai ini.

Tiket kini mula dijual menerusi www.211eventempire.com dengan harga antara RM188 hingga RM1,888 untuk kehadiran fizikal, manakala tiket tontonan secara penstriman langsung boleh didapati pada harga RM20 sahaja.

Komen
Loading...