Seramai 10 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam operasi Jabatan Imigresen di sekitar Taman Langat Murni dan Taman Langat Utama, Bukit Changgang di sini hari ini.
Kawasan yang menempatkan kira-kira 9,000 penghuni itu, dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Secara Pentadbiran (SEMCO) sejak awal bulan ini.
Dalam operasi selama tiga jam bermula 9 pagi tadi, seramai 803 pendatang asing diperiksa.
Tinjauan di lokasi, mendapati anggota yang terbabit dalam operasi terhadap kawasan itu mengenakan peralatan perlindungan peribadi (PPE) sebagai langkah keselamatan.
Selain penguat kuasa imigresen, operasi turut disertai anggota polis, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Majlis Perbandaran Kuala Langat dan Kementerian Kesihatan (KKM).
Warga asing yang ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen itu terdiri daripada empat lelaki dan seorang wanita Indonesia, seorang lelaki Bangladesh dan empat lelaki India, masing-masing berusia di antara 19 hingga 50 tahun.
Mereka yang ditahan itu disiasat mengikut Seksyen 35, Akta Imigresen 1959/63 dan dibawa ke Pejabat Imigresen Selangor, sebelum dihantar ke Depoh Tahanan Imigresen di Semenyih.
Taman Langat Murni dan Taman Langat Utama dikenakan PKP secara pentadbiran sejak 2 Jun lalu, selepas 20 pekerja asing sebuah syarikat pembersihan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang tinggal di kawasan itu dikesan positif COVID-19 pada 28 Mei lalu.
Setakat hari ini, jumlah yang disahkan masih lagi positif adalah seramai sembilan orang, iaitu enam rakyat tempatan dan tiga lagi masing-masing seorang warga Nepal, Bangladesh serta Thailand.
Kawasan PKP secara pentadbiran seluas 43.3 hektar itu didiami kira-kira 9,000 penghuni dengan 30 peratus daripadanya pekerja asing dan SEMCO berkenaan dijangka tamat pada Selasa ini.
Foto : Bernama, Berita Harian.