Ikuti Kami:

1.1 Juta Tontonan Haram di TikTok, Penerbit filem Waruga: Kutukan Ilmu Hitam, Seru Hentikan Cetak Rompak

1.1 Juta Tontonan Haram di TikTok, Penerbit filem Waruga: Kutukan Ilmu Hitam, Seru Hentikan Cetak Rompak

Penerbit filem Waruga: Kutukan Ilmu Hitam, D’Ayu Pictures Sdn Bhd, meluahkan rasa kesal apabila filem terbitan mereka dicetak rompak dan dimuat naik secara haram di platform TikTok, sehingga mencatatkan 1.1 juta tontonan.

Ketua Pegawai Eksekutif D’Ayu Pictures, Azaromi Ghozali, menggesa agar tindakan tegas diambil terhadap individu yang bertanggungjawab melakukan cetak rompak digital, yang kini semakin berleluasa.

“Filem ini mula ditayangkan di pawagam tempatan pada 15 Februari 2024, dan mendapat sambutan luar biasa di pasaran Asia Tenggara, terutamanya di Kemboja. Selepas tayangan pawagam, ia diedarkan ke platform seperti Astro First dan Netflix. Namun, saya sangat kecewa apabila filem ini telah dicetak rompak dan dimuat naik ke TikTok tanpa izin,” jelasnya.

Azaromi berkata, salah satu video cetak rompak itu telah menerima 1.1 juta tontonan, memberi kesan besar kepada hasil kutipan filem tersebut.

“Seandainya 1.1 juta tontonan ini diterjemahkan kepada pembelian tiket dengan harga RM20, filem ini sepatutnya menghasilkan RM22 juta dalam kutipan kasar. Malangnya, perbuatan ini tidak hanya merugikan kami, tetapi turut menyokong tindakan jenayah digital,” tambahnya.

Beliau juga menyatakan bahawa tindakan ini berpotensi merosakkan industri filem tempatan dan merugikan banyak pihak yang terlibat dalam pembikinan filem.

“Penonton yang menonton secara percuma tanpa kesedaran mereka adalah sebahagian daripada masalah ini,” katanya lagi.

Sebagai tindak balas, Azaromi telah membuat laporan polis di Balai Polis Bandar Baru Bangi dan menyatakan bahawa pihaknya tidak akan berdiam diri dalam menangani isu cetak rompak digital ini.

Sementara itu, Pengarah Urusan D’Ayu Pictures, Datuk Rosmarayu Mokhtar, menyokong penuh tindakan yang diambil oleh Azaromi.

“Saya terkejut apabila dimaklumkan mengenai cetak rompak digital ini. Kami menyokong penuh tindakan undang-undang untuk melindungi hak cipta syarikat dan berharap perkara ini memberi pengajaran kepada mereka yang terlibat,” katanya.

Kerajaan Malaysia baru-baru ini telah meluluskan pindaan kepada Akta Hak Cipta 2022 yang mencadangkan hukuman tegas kepada individu atau perniagaan yang melakukan pelanggaran hak cipta melalui teknologi penstriman.

Pindaan ini memperkenalkan hukuman denda antara RM10,000 hingga RM200,000, atau penjara sehingga 20 tahun, atau kedua-duanya.

Komen
Loading...