Zahnita Wilson Tolak Tawaran RM150,000 Demi Fokus Pada Keluarga dan Perniagaan
- oleh Mohd Indera
- 1 bulan lalu
![Zahnita Wilson Tolak Tawaran RM150,000 Demi Fokus Pada Keluarga dan Perniagaan](https://mdaily.gerbangcdn.com/wp-content/uploads/2024/12/07101344/zahnita-wilson-4.png)
Bekas pelakon dan model, Zahnita Wilson baru-baru ini menjadi perhatian selepas temu bualnya bersama sebuah majalah wanita dimuat naik di TikTok.
Dalam temu bual tersebut, Zahnita mengungkapkan sebab di sebalik keputusannya menolak tawaran pemodelan bernilai RM150,000 daripada jenama Jakel.
“Dengan rendah diri, saya perlu tolak tawaran daripada Jakel. Buat masa sekarang, saya ingin fokus pada anak dan bisnes sahaja,” katanya dengan penuh keikhlasan.
Walaupun jumlah tawaran pemodelan itu sangat besar, Zahnita menjelaskan bahawa dunia pemodelan bukan lagi pilihannya.
Menurut pelakon Kuliah Cinta itu, beliau lebih selesa menjadi diri sendiri dan menggunakan platform media sosial untuk mempromosikan perniagaan pai yang diasaskannya iaitu ‘Zahnita’s Humble Pie’.
“RM150k memang banyak, tapi pemodelan bukan dunia saya lagi. Saya hanya jadi diri sendiri dan gunakan media sosial untuk mempromosikan bisnes pai saya,” jelas Zahnita, yang kini lebih fokus kepada kehidupan keluarga dan keusahawanan.
Mengulas mengenai hala tuju perniagaannya, Zahnita atau nama penuh Zahnita Dorothy Hussein Wilson, 39 tahun, mendedahkan bahawa sasaran perniagaannya untuk bulan ini adalah menghasilkan 3,000 pai.
Beliau juga menaruh harapan tinggi agar jumlah tersebut dapat meningkat kepada 10,000 pai pada tahun hadapan.
“Sasaran saya untuk bulan ini adalah untuk buat 3,000 pai. InsyaAllah, semoga tahun depan boleh capai 10,000 pai,” tambah Zahnita dengan penuh keyakinan.
Keputusan Zahnita untuk menolak tawaran lumayan ini mendapat pujian daripada peminat yang menghormati pilihannya untuk memberi keutamaan kepada keluarga dan impian perniagaan.
Terdahulu, Zahnita nekad memfailkan perceraian terhadap suaminya, Abdul Zackery Ghouse, di Mahkamah Rendah Syariah Kuantan, Pahang, kerana tidak tahan berada dalam rumah tangga yang toksik.
Keputusan itu dianggap sebagai langkah untuk membina kehidupan baru yang lebih positif demi dirinya dan anak-anak.