Ikuti Kami:

Warner Music Malaysia Rai Pencapaian Cemerlang 2024

Warner Music Malaysia Rai Pencapaian Cemerlang 2024

Warner Music Malaysia (WMM) menutup tahun 2024 dengan pencapaian membanggakan, menegaskan kedudukannya sebagai peneraju dalam industri muzik tempatan dan antarabangsa.

Dengan inisiatif inovatif, perkongsian strategik, dan tumpuan terhadap pembangunan artis, WMM terus memperkukuh pengaruhnya dalam landskap muzik yang dinamik.

Menurut Dinesh Ratnam, Pengarah Urusan Warner Music Malaysia, tahun 2024 merupakan detik penting bagi syarikat dalam memperluaskan pengaruhnya di industri muzik.

“Kami sangat berbangga dengan kejayaan yang telah dicapai sepanjang tahun ini. Dari festival muzik hingga kerjasama strategik, setiap inisiatif yang kami jalankan bertujuan memperkayakan pengalaman peminat serta memperkukuh ekosistem muzik tempatan,” katanya.

Sebagai sebahagian daripada usaha memperkayakan pengalaman peminat, WMM telah menganjurkan Futureland Festival sulung di Stadium Merdeka, menarik kehadiran 20,000 peminat.

Selain itu, Warner Music Fest 2024 menjelajah lapan universiti dan berjaya menjangkau lebih 7,000 pelajar, menunjukkan komitmen WMM dalam mendekati peminat muda.

Kerjasama penting yang dijalinkan termasuk peranan WMM sebagai rakan muzik rasmi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi pasukan Harimau Malaya.

WMM turut melabur bersama FINAS dalam penerbitan filem, membuka peluang kepada artis Malaysia untuk menyumbang kepada runut bunyi serta menyokong persembahan artis antarabangsa.

“Kami percaya bahawa muzik bukan hanya hiburan, tetapi juga alat untuk memperkukuh budaya dan membentuk identiti nasional,” tambah Dinesh.

Tahun 2024 menyaksikan kejayaan besar buat artis-artis di bawah naungan WMM. MASDO muncul sebagai artis kedua paling banyak distrim di Malaysia dan kumpulan nombor satu di Spotify, selain memenangi anugerah MTV EMA.

Sarah Suhairi pula diiktiraf sebagai artis RADAR Spotify Teratas Malaysia, dengan lagunya, “SAH”, menjadi lagu ketiga paling banyak distrim di Spotify Malaysia.

WMM turut menyaksikan kemunculan bakat baharu seperti Fimie Don, Empty Page, Nabila Razali, dan Rizal Rasid yang menyerlah di Festival ROUND, membuktikan pertumbuhan dinamik industri muzik tempatan.

Fokus WMM terhadap pembangunan artis diterjemahkan melalui strategi media sosial, kerjasama jenama, serta penganjuran acara secara langsung, yang menyumbang kepada peningkatan hasil industri muzik.

Perkongsian strategik dengan AEON, CelcomDigi, GRAB, Kara, OPPO, Tealive, Watsons Malaysia, Woods, vivo, YES, dan Perfume Paradise telah memacu kolaborasi jenama yang kreatif.

Selain itu, kerjasama dengan Rocketfuel serta jenama utama lain turut mengukuhkan impak WMM dalam industri muzik.

WMM turut mencatat kejayaan di peringkat antarabangsa apabila album “Rosie” oleh Rosé mencatat rekod dengan kesemua 12 lagu memasuki Spotify Top 200 di Malaysia.

Sementara itu, lagu “APT” oleh Bruno Mars mendahului carta Malaysia selama 12 minggu berturut-turut, mencerminkan pengaruh global WMM dalam industri muzik.

Sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh ekosistem muzik tempatan, WMM turut bekerjasama dengan Rocketfuel dan menerima sokongan kerajaan melalui inisiatif seperti KPIMM dan JK-PTIM.

“Sokongan kerajaan dan industri amat penting dalam memacu pertumbuhan muzik tempatan. Kami berharap dapat terus bekerjasama dalam memperkasa bakat Malaysia ke peringkat lebih tinggi,” ujar Dinesh.

Dengan kejayaan cemerlang sepanjang tahun 2024, WMM terus komited untuk menerajui perubahan dan membawa industri muzik Malaysia ke mercu kejayaan yang lebih gemilang.

Komen
Loading...