Ikuti Kami:

TV AlHijrah Raikan Ramadan & Syawal 1446H dengan Kandungan Islamik Berkualiti

TV AlHijrah Raikan Ramadan & Syawal 1446H dengan Kandungan Islamik Berkualiti

TV AlHijrah terus mengukuhkan peranannya sebagai stesen televisyen Islam utama di Malaysia dengan pelancaran Program Ramadan & Syawal 1446H/2025.

Majlis pelancaran ini telah disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im Bin Haji Mokhtar dalam sebuah acara yang penuh bermakna.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Pengerusi TV AlHijrah, Mohd Khair Bin Ngadiron, Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Bin Harris, barisan kepimpinan TV AlHijrah, para asatizah, personaliti serta wakil daripada Persatuan Kebajikan OKU Pendengaran KL Selangor (PKOPKS) dan Persatuan Orang Pekak Negeri Sembilan (NESDA).

Dengan tema “Ramadan: Merindui Taubat Hamba-Nya, Syawal: Istiqamah Cahaya Ketakwaan”, TV AlHijrah bertekad untuk terus menyajikan kandungan berkualiti tinggi yang dapat membimbing masyarakat dalam menghayati bulan Ramadan dan Syawal dengan lebih bermakna.

Dalam ucapannya, YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im menegaskan bahawa TV AlHijrah bukan sekadar sebuah stesen penyiaran, tetapi juga berfungsi sebagai pusat pendidikan Islam yang mendidik masyarakat dengan ilmu Islami serta menyampaikan berita semasa yang tepat dan sahih.

Beliau turut menekankan kepentingan penyiaran Islam yang lebih progresif dan interaktif agar dakwah kekal relevan dalam era digital dan mampu menyentuh hati penonton.

Seiring dengan perubahan teknologi termasuk kemunculan kecerdasan buatan (AI), beliau menyeru agar TV AlHijrah terus berinovasi dalam menyajikan kandungan yang mampu menarik perhatian masyarakat.

Kepercayaan penonton terhadap TV AlHijrah juga semakin kukuh, dibuktikan dengan peningkatan drastik dalam jumlah tontonan sepanjang Ramadan 2024.

Statistik menunjukkan jumlah tontonan di platform AlHijrah Plus meningkat sebanyak 183% berbanding tahun sebelumnya, manakala capaian di Facebook TV AlHijrah meningkat 105%. Selain itu, siaran langsung cerapan Anak Bulan Syawal di Facebook dan TikTok mencatat lebih 1.01 juta tontonan.

Bagi mengukuhkan lagi peranannya dalam menyebarkan dakwah Islam, TV AlHijrah bakal menyajikan pelbagai program istimewa sepanjang Ramadan dan Syawal tahun ini.

Antara program yang bakal ditayangkan termasuk Peristiwa Wanita Akhir Zaman, yang membincangkan cabaran dan peristiwa melibatkan wanita dari perspektif Islam, Tadarus On The Go, sebuah program tadarus al-Quran setiap malam dengan penyertaan qari pilihan, serta Jalan Taubat, yang mengetengahkan perjalanan rohani individu dalam mencari keampunan dan hidayah.

Selain itu, beberapa program khas seperti Qalbun Saleem, Cinta Ilmu Istimewa Ramadan, dan Khatam Ramadan 1446H turut disusun bagi menyemarakkan suasana Ramadan dan Syawal dalam kalangan penonton.

Menteri Agama dalam ucapannya turut mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk memanfaatkan keberkatan Ramadan bagi membina masyarakat yang lebih beriman dan bertakwa.

Ramadan bukan sekadar bulan ibadah, tetapi juga peluang untuk memperbaiki diri, memperkukuh ukhuwah, dan membentuk kehidupan yang lebih harmoni berlandaskan Islam.

Dengan komitmen yang berterusan dalam menawarkan kandungan berkualiti dan bermanfaat, TV AlHijrah mengajak penonton untuk terus mengikuti rancangan khas Ramadan dan Syawal menerusi saluran TV AlHijrah, aplikasi AlHijrah Plus, platform media sosial rasmi, serta portal AlHijrah Online. Untuk maklumat lanjut, layari www.tvalhijrah.com.

Komen
Loading...