Ikuti Kami:

Tuan Rumah Dikompaun RM 1,000 Pada Raya Kedua

Tuan Rumah Dikompaun RM 1,000 Pada Raya Kedua

Dalam satu pemeriksaan menerusi Op COVID-19 kira-kira jam 5 petang semalam, anggota polis daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak telah menemui belasan orang tetamu berada dalam sebuah rumah di Taman Selayang Mutiara, Batu Caves. Mereka berada disitu dipercayai untuk tujuan ziarah Hari Raya.

Salah seorang dari tetamu berkata dia mendapat jemputan daripada rakannya yang juga anak kepada tuan rumah terbabit untuk datang berhari raya di kediaman berkenaan. Namun menurutnya, dia tahu mengenai arahan pihak berkuasa bahawa aktiviti ziarah hanya dibenarkan pada raya pertama.

“Mereka jemput untuk datang hari ini, saya datanglah untuk beraya tetapi tak sangka pihak polis akan datang buat pemeriksaan di sini.”

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe, berkata hasil pemeriksaan dijalankan mendapati ada 18 individu berada di dalam rumah terbabit, terdiri daripada ahli keluarga dan sanak saudara.

Susulan itu, polis telah mengenakan kompaun kepada tuan rumah terbabit yang juga seorang suri rumah berusia 50 tahun.

“Wanita itu dikenakan kompaun RM1,000 dan perlu menjelaskannya dalam tempoh 14 hari kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB),” katanya seperti yang dilaporkan Berita Harian.

Tindakan membenarkan tetamu hadir pada hari ini jelas melanggar arahan kerajaan yang hanya membenarkan aktiviti ziarah sempena sambutan Aidilfitri pada hari pertama, selain melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Fadzil Ahmat pada sidang medianya, memaklumkan bahawa pihak polis kini mempertingkatkan pemantauan dan penguatkuasaan bagi mengesan mereka yang ingkar PKPB.

Foto : Berita Harian

Komen
Loading...