Toto Gegarkan Arena of Stars dengan Persembahan Bertenaga dalam Dogz of Oz Tour
- oleh Mohd Indera
- 2 minggu lalu

Arena of Stars bergema dengan sorakan dan nyanyian peminat apabila kumpulan rock legenda dari Amerika Syarikat, Toto, menggegarkan pentas menerusi konsert yang penuh bertenaga dan memukau dalam rangka Dogz of Oz Tour, yang dibawakan oleh UnUsUaL Entertainment.
Sejak nota pertama dimainkan, penonton dibawa mengimbas nostalgia menerusi lagu-lagu ikonik seperti Rosanna, I’ll Be Over You, dan tentunya Africa – yang menerima sambutan paling hangat dari semua peminat.
Persembahan ini membuktikan bahawa walaupun lebih empat dekad dalam industri, Toto masih kekal relevan dan diminati, termasuk oleh generasi muda.
Barisan pemuzik mantap yang terdiri daripada Steve Lukather, Joseph Williams, Greg Phillinganes, Shannon Forrest, John Pierce, Warren Ham, dan Dennis Atlas tampil dengan persembahan yang mantap.
Antara lagu yang dipersembahkan sepanjang malam tersebut termasuk Child’s Anthem, Carmen, Rosanna, Mindfields, I Will Remember, dan Pamela.
Persembahan turut diselitkan dengan solo keyboard daripada Greg Phillinganes yang diikuti oleh lagu I Won’t Hold You Back, Angel Don’t Cry, dan Georgy.
Dennis Atlas kemudian memukau penonton dengan solo keyboardnya sendiri sebelum kumpulan ini meneruskan dengan White Sister, I’ll Be Over You, dan I’ll Supply the Love.
Tidak ketinggalan solo dram penuh tenaga oleh Shannon Forrest sebelum mereka membawakan Don’t Chain My Heart dan Stop Loving You, yang turut menampilkan pengenalan ahli kumpulan disertai dengan snippet lagu popular seperti Beat It, Hakuna Matata, dan lain-lain.
Konsert diakhiri dengan dua lagu kemuncak yang dinanti-nantikan, iaitu Hold the Line dan Africa, yang menutup malam tersebut dengan penuh gaya dan emosi.
Konsert yang dinanti-nanti ini bermula jam 6.30 petang dan berlangsung selama 2 jam yang padat dengan aksi mempesona sebelum melabuhkan tirai pada jam 8.30 malam.
Turut kelihatan beberapa artis tempatan yang turut hadir pada konsert ini seperti Man Bai, Along Exists, Ajak Slam dan ramai lagi.
Foto Oleh: UnUsUaL Entertainment.