Ikuti Kami:

‘This is Johan: A BikinSampaiJadi Story’ Menang Besar di Anugerah Kancil 2024

‘This is Johan: A BikinSampaiJadi Story’ Menang Besar di Anugerah Kancil 2024

Dokumentari ‘This is Johan: A BikinSampaiJadi Story’ mencatat sejarah tersendiri apabila berjaya meraih dua Anugerah Emas di Anugerah Kancil 2024 yang berlangsung pada 22 November lalu.

Dokumentari ini memenangi kategori Filem Fiksyen dan Bukan Fiksyen (5 minit ke atas) serta Pempengaruh dan Kolaborasi, menjadikannya antara projek paling cemerlang dalam acara berprestij itu.

Dokumentari yang diterbitkan oleh jenama telekomunikasi Hotlink ini mengisahkan perjalanan karier ikon hip-hop terkenal, Joe Flizzow, yang penuh inspirasi.

Ia turut menonjolkan sisi peribadi Joe melalui rakaman temubual eksklusif selama 400 jam bersama rakan-rakan muzik, keluarga, dan dirinya sendiri. Penonton dibawa menyelami saat-saat penting dalam hidupnya, termasuk cabaran, kejatuhan, dan usaha bangkit semula.

Joe Flizzow, yang juga Pengarah Urusan Def Jam SEA, meluahkan rasa bangga atas kemenangan tersebut.

“Kemenangan ini sangat bermakna buat saya dan pasukan. Dokumentari ini adalah refleksi perjuangan dan impian kami.

“Terima kasih kepada Barney, pengarah dokumentari, kerana mempercayai visi kami.

“Trofi ini saya akan letakkan bersama pencapaian lain dalam muzik sebagai tanda penghormatan terhadap karya ini,” katanya.

Projek ini bukan sahaja menampilkan kisah hidup Joe tetapi juga menyerlahkan komitmen Hotlink dalam mendekati Gen Z melalui muzik.

Sebagai jenama yang sinonim dengan generasi muda, Hotlink berhasrat terus memartabatkan bakat tempatan sambil menyatukan komuniti peminat muzik di Malaysia.

Anugerah Kancil 2024, dianjurkan oleh Pertubuhan Akreditasi Ejen Pengiklanan Malaysia (4As), menyaksikan penyampaian 234 anugerah merentasi 10 kategori.

‘This is Johan: A BikinSampaiJadi Story’ adalah hasil kerjasama kreatif antara Mojo Films, Maxis, Universal Music Malaysia, dan Publicis Groupe Malaysia, dan kini boleh ditonton di platform Viu Malaysia.

Kemenangan ini menegaskan kehebatan dokumentari tempatan sebagai medium penceritaan yang mampu memberi impak besar kepada audiens, sambil mengukuhkan kedudukan Joe Flizzow sebagai pelopor seni dan budaya hip-hop di Malaysia.

Komen
Loading...