The Joy of Raya: Kolaborasi CARiNG Pharmacy & ARTJAMILA Serlahkan Keunikan Aidilfitri
- oleh Mohd Indera
- 2 bulan lalu

Semangat Aidilfitri tahun ini diraikan dengan cara yang lebih bermakna menerusi kolaborasi istimewa antara CARiNG Pharmacy dan artis autistik terkenal, ARTJAMILA.
Hasil kerjasama ini, rekaan eksklusif sampul duit raya edisi terhad bertajuk The Joy of Raya diperkenalkan, menggabungkan sentuhan seni kreatif dengan mesej kesedaran serta nilai inklusiviti.
Dikenali dengan gaya lukisan yang ekspresif dan penuh warna, ARTJAMILA atau nama sebenarnya Wan Jamila Wan Shaiful Bahri, membawa elemen keceriaan Aidilfitri dalam rekaannya.
The Joy of Raya menampilkan motif unik yang menggambarkan kehangatan sambutan perayaan, semangat kekeluargaan, serta kepelbagaian budaya dalam masyarakat.
Menurut kenyataan rasmi daripada CARiNG Pharmacy, kempen ini bukan sekadar memperkenalkan sampul duit raya edisi terhad, tetapi juga sebagai platform untuk mengetengahkan bakat luar biasa golongan neurodivergent dan meningkatkan kesedaran tentang autisme.
“Sebagai jenama yang komited dalam menyokong komuniti, kami amat berbesar hati dapat bekerjasama dengan ARTJAMILA untuk kempen ini. Karya seni beliau bukan sahaja mencerminkan keindahan Aidilfitri tetapi juga membawa mesej mendalam mengenai kepelbagaian dan penerimaan,” kata wakil CARiNG Pharmacy.
Bagi ARTJAMILA sendiri, kolaborasi ini merupakan satu penghormatan besar dalam memperluaskan mesej inklusiviti kepada masyarakat.
“Saya amat teruja kerana dapat berkongsi seni saya dengan lebih ramai orang melalui kempen ini. Saya berharap The Joy of Raya dapat memberikan inspirasi kepada masyarakat serta meningkatkan kesedaran tentang keindahan kreativiti dan kepelbagaian,” katanya.
Selain memperkenalkan sampul duit raya eksklusif ini, CARiNG Pharmacy turut merancang pelbagai aktiviti lain bagi menyemarakkan kempen Syawal di Hati, Kenangan Abadi.
Inisiatif yang dirancang merangkumi program kesedaran, aktiviti interaktif, serta promosi istimewa yang menggalakkan amalan gaya hidup sihat sempena musim perayaan.
Sebagai tanda penghargaan kepada pelanggan, CARiNG Pharmacy bersama Georgetown Pharmacy dan Wellings Pharmacy akan mengadakan jualan istimewa Syawal di Hati, Kenangan Abadi – Riang Ria Raya Sale dari 7 Mac hingga 7 April 2025.
Menariknya, pelanggan yang berbelanja sebanyak RM30 ke atas dalam tempoh promosi ini akan menerima sampul duit raya eksklusif edisi terhad The Joy of Raya secara percuma, menjadikan persiapan Aidilfitri lebih bermakna.
Untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai kempen ini, orang ramai boleh melayari laman web rasmi CARiNG Pharmacy serta mengikuti perkembangan terkini di Facebook, Instagram, TikTok, dan X.
Bagi yang ingin mengenali lebih lanjut tentang ARTJAMILA dan hasil seninya, mereka boleh mengunjungi laman web serta akaun media sosial rasmi artis berbakat ini.