Terengganu Buka Masjid Dan Surau Bermula 12 Jun, Jemaah Perlu Mengikut SOP
- oleh Editor
- 4 tahuns lalu
Kerajaan negeri Terengganu membenarkan semua masjid dan surau dibuka kepada orang ramai bermula 12 Jun ini.
Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam), Datuk Osman Muda berkata, kebenaran menunaikan solat Jumaat turut diperluaskan kepada semua masjid di negeri ini bermula tarikh sama.
Katanya, kebenaran tersebut mendapat perkenan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin seiring dengan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula 10 Jun hingga 31 Ogos sebagaimana diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kelmarin.
“Baginda memahami hasrat rakyat jelata yang mengharapkan masjid dan surau dapat dibuka dan dimakmurkan sepenuhnya dengan aktiviti-aktiviti keagamaan, terutama solat Jumaat dan solat fardu lima waktu.
Mengulas lanjut katanya, bilangan jemaah yang dibenarkan hadir bergantung kepada keluasan masjid dengan mengambil kira pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) yang menetapkan penjarakkan satu meter antara ahli jemaah terdiri daripada anak mukim.
“Jemaah yang hadir diwajibkan mematuhi segala SOP kesihatan dan keselamatan yang ditetapkan seperti sentiasa mematuhi penjarakkan sosial, memakai pelitup muka dan tidak bersentuhan di antara satu sama lain termasuk bersalaman sepanjang berada di masjid.
“Bagaimanapun, individu yang mempunyai gejala seperti demam, batuk, selesema, sesak nafas dan sakit tekak tidak dibenar hadir termasuk yang menghidap penyakit kronik,” katanya dalam satu kenyataan kepada media hari ini.
Beliau berkata, jawatankuasa masjid dan surau diberi tanggungjawab sepenuhnya dalam memastikan pengurusan solat di masjid atau surau masing-masing berjalan lancar dengan pematuhan terhadap segala SOP ditetapkan termasuk dari segi kebersihan dan keselamatan sepanjang ibadat solat dijalankan.
Osman berkata, kanak-kanak berumur 15 tahun ke bawah dan warganegara asing turut dilarang hadir menunaikan solat Jumaat dan solat fardu lima waktu di masjid serta surau negeri ini.