
Filem Sarawak, Tegkang, bakal menempa satu lagi kejayaan besar apabila ia akan ditayangkan secara rasmi di Netflix secara global pada 28 Februari 2025.
Kejayaan ini bukan sahaja memperkukuh kedudukan Tegkang sebagai antara filem tempatan yang berjaya menembusi pasaran antarabangsa, tetapi juga membuka jalan kepada industri perfileman Malaysia, khususnya dari Borneo, untuk lebih dikenali di persada dunia.
Diterbitkan oleh MyContent Distribution, Tegkang mengisahkan perjalanan penuh emosi yang berlatarbelakangkan keindahan pergunungan Bario, Sarawak.
Filem ini mengangkat tema kemerdekaan, rasa ingin tahu, rahsia, kekeluargaan, cinta, dan ketabahan menghadapi cabaran dengan naratif yang mendalam dan menyentuh hati.
Lebih daripada sekadar hiburan, Tegkang memberikan gambaran autentik tentang budaya unik masyarakat Kelabit, menggabungkan elemen tradisional dengan penceritaan universal yang boleh dinikmati oleh penonton dari seluruh dunia.
Sebelum ini, Tegkang telah mendapat pengiktirafan antarabangsa, termasuk memenangi Anugerah Pembikin Filem Pertama Terbaik di Lift-Off Sessions, dengan majlis penganugerahan diadakan di Pinewood Studios, London.
Tayangan filem ini di pawagam menerima sambutan luar biasa, dengan penonton memuji jalan ceritanya yang menarik, kedalaman budaya yang ditonjolkan, serta sinematografi yang memukau dalam menggambarkan keindahan Sarawak.
Dengan sokongan daripada FINAS dan Kementerian Komunikasi Malaysia melalui Dana Kandungan Digital (DKD), serta Kementerian Pelancongan, Seni, dan Budaya Sarawak, Tegkang kini bersedia untuk dipersembahkan kepada audiens global.
Penerbit Eksekutif, Lyn Nasihin, menyifatkan penayangan Tegkang di Netflix sebagai pencapaian besar bagi industri filem Malaysia, khususnya Sarawak.
“Kami ingin membawa kisah yang autentik dan penuh emosi ke seluruh dunia, dan dengan penayangan di Netflix, impian ini menjadi kenyataan. Kami berharap kejayaan ini akan memberi inspirasi kepada lebih banyak kisah dari Malaysia untuk mendapat tempat di pentas antarabangsa.” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Datuk Azmir, berbangga dengan kejayaan Tegkang, membuktikan kisah dari Malaysia, terutama Borneo, mempunyai daya tarikan global.
“FINAS akan terus menyokong industri kreatif tempatan agar lebih banyak karya berkualiti dapat dipersembahkan kepada dunia.” katanya.
Kejayaan Tegkang bukan sahaja membawa perhatian dunia kepada industri perfileman Malaysia, tetapi juga meletakkan Sarawak sebagai destinasi penggambaran yang berpotensi tinggi, dengan keunikan warisan budaya dan keindahan landskapnya.
Dengan tayangan global di Netflix, penonton di seluruh dunia kini berpeluang untuk menikmati kisah Malaysia yang indah dan bermakna ini.