Ikuti Kami:

“Tak Perlu Tiru Ikon Luar, Kita Ada Pendekar Sendiri” – Beto Kusyairy

“Tak Perlu Tiru Ikon Luar, Kita Ada Pendekar Sendiri” – Beto Kusyairy

Pelakon berkaliber, Beto Kusyairy menegaskan bahawa industri perfileman Malaysia tidak perlu meminjam atau meniru acuan ikon luar negara kerana Malaysia mempunyai khazanah tokoh dan pendekar yang jauh lebih hebat untuk diangkat ke layar perak.

Kenyataan itu menyusul bagi menjawab segelintir pandangan yang cuba membandingkan naskhah epik terbaharu, Gayong 2, dengan filem aksi antarabangsa seperti Ip Man.

Bercakap pada Malam Gala filem berkenaan di TGV 1Utama semalam, Beto yang menggalas watak utama sebagai Mahaguru Allahyarham Datuk Meor Abdul Rahman (ADMAR), menyifatkan tanggungjawab membawa watak tokoh besar itu bukan sekadar satu tugasan lakonan, tetapi satu amanah mempertahankan maruah.

“Alhamdulillah, ketokohan Datuk Meor itu sendiri sudah cukup kuat. Ada yang mengatakan kita cuba meniru (filem luar), tetapi bagi saya, ‘come on’, kita ada pendekar dan tokoh kita sendiri. Kenapa perlu kita pandang luar sedangkan akar kita sudah cukup teguh?” ujarnya.

Filem terbitan SOL Pictures Sdn. Bhd. ini menyaksikan transisi watak ADMAR ke fasa yang lebih gelap dan mencabar.

Bukan sekadar mempamerkan seni persilatan, Gayong 2 menyelami kehidupan beliau sebagai pegawai CID dalam pasukan polis di bawah pentadbiran British di Singapura selepas Perang Dunia Kedua.

Menurut pengarahnya, Faisal Ishak, beliau menaruh harapan agar naskhah ini mampu menyentuh hati penonton memandangkan ia sarat dengan garapan emosi yang lebih mendalam.

“Saya ingin penonton yang menonton filem ini nanti pulang dengan rasa bangga terhadap warisan kita dan pada masa yang sama terhibur dengan sebuah filem aksi tempatan yang dibuat dengan sepenuh hati.” katanya.

Beto turut menyatakan rasa syukur atas kolaborasi erat bersama rakan pelakon lain seperti Nabila Huda dan Syafie Naswip, serta bimbingan Faisal Ishak dan Penerbit Eksekutif, Khairul Anuar Latip.

“Kami sudah memberikan yang terbaik dan melakukan sehabis baik. Selebihnya, tanggungjawab itu kini terletak di tangan penonton untuk menilai naskhah ini,” tambahnya lagi.

Dijalankan sepenuhnya di Ipoh, Perak, Gayong 2 turut menampilkan penampilan sulung Miss Malaysia 2024, Sandra Lim.

Filem yang sarat dengan konflik identiti dan maruah ini dijadualkan menggegar pawagam seluruh negara bermula 9 April 2026.