Syamsul Yusof Diperintah Bayar Kos Kehadiran RM200 Kepada Bekas Isteri
- oleh Mohd Indera
- 3 minggu lalu
GOMBAK: Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur memerintahkan pengarah kontroversi, Syamsul Yusof, membayar kos kehadiran RM200 kepada bekas isterinya, Ira Kazar. Keputusan itu dibuat oleh Hakim Maizatul Aliza Chee Din.
Peguam Ira, Mohammad Fadhil Abdul Razak, memohon kos RM3,000 kerana mendakwa Syamsul tidak berterus terang mengenai lafaz taklik yang dibuat di luar mahkamah pada Jun lalu. Bagaimanapun, mahkamah menetapkan kos kehadiran sebanyak RM200.
“Mahkamah sudah meluluskan dan memerintahkan kos RM200 diberikan. Cuma, saya kesal lafaz cerai berlaku pada Jun, tapi tindakan diambil pada Ogos bukan merujuk pada pengesahan lafaz cerai, tapi sebaliknya permohonan cerai biasa.” katanya.
Peguam Syamsul, Azmi Mohd Aris, tidak bersetuju dengan tuntutan kos RM3,000 kerana proses perceraian yang dijalankan di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Selangor pada 5 September lalu telah menjimatkan masa kedua-dua pihak.
Pada 5 September, Mahkamah Rendah Syariah Kuala Selangor mengesahkan lafaz cerai taklik yang dibuat Syamsul terhadap Ira. Pasangan itu berkahwin pada 6 Januari tahun lalu di Thailand.