Spekulasi Perpisahan Fazura dan Fattah Amin Bakal Ternoktah Esok?
- oleh Mohd Indera
- 3 minggu lalu
Sementara peminat ternanti-nanti dengan penuh teka-teki tentang keputusan akhir nasib rumah tangga selebriti popular Nur Fazura dan Fattah Amin pada Rabu, 25 September, pelbagai spekulasi dan andaian semakin memuncak. Ini berpunca daripada sikap berdiam diri pasangan tersebut terhadap isu yang sedang melanda hubungan mereka.
Apabila Fattah dalam kenyataannya kepada media sebelum ini mendakwa dia tidak tahu isterinya telah memfailkan permohonan cerai pada 13 September lalu, ia memperlihatkan bahawa tiada komunikasi antara mereka berdua mengenai isu tersebut.
Difahamkan semasa gosip keretakan rumah tangga mereka sedang hangat diperkatakan, Fattah dipercayai telah keluar dari rumah kelamin mereka dan tinggal berasingan bagi menenangkan keadaan walaupun dia mengakui masih menyayangi Fazura.
Terdapat juga dakwaan bahawa sejak mereka tinggal berasingan, Fattah dan anak mereka, Nur Fatima Aisya, tidak lagi berhubung. Namun, pada hari ulang tahun kelahirannya yang ke-14 September lalu, Fattah berjaya melepaskan kerinduan terhadap anaknya itu apabila berpeluang berjumpa dengannya.
Selain itu, kek hari jadi yang mempunyai dua patung mirip Fattah dan Fatima telah menguatkan lagi spekulasi bahawa dia dan Fazura sudah tidak tinggal bersama.
Keputusan yang bakal diumumkan nanti dijangka akan menjawab segala persoalan peminat yang selama ini menganggap pasangan tersebut sebagai simbol kebahagiaan, kerana sepanjang tujuh tahun perkahwinan mereka, tidak pernah sekalipun terlibat dalam sebarang kontroversi.
Sebelum ini, media cuba mendapatkan pengesahan daripada peguam yang mewakili Fazura mengenai kes perceraian yang difailkan oleh anak guamnya, namun mesej yang dihantar tidak berjawab kerana peguam tersebut masih berada di luar negara.