Biduanita Negara, Dato’ Sri Siti Nurhaliza sekali lagi membuktikan keakrabannya dengan pihak media apabila meraikan mereka dalam satu majlis istimewa di restoran The Roomah, Solaris Dutamas, hari ini.
Acara itu diadakan sempena pelancaran single terbaharunya, Sejarah, yang turut menjadi platform untuk beliau mengungkapkan rasa penghargaan kepada media yang menjadi tonggak kejayaannya.
Siti menyifatkan pihak media sebagai sahabat dan keluarga yang telah memperkenalkan beliau kepada masyarakat sejak mula melangkah ke industri seni.
Sebagai tanda terima kasih, acara tersebut turut diselitkan dengan sesi cabutan bertuah dan pemberian cenderahati khas kepada semua wakil media yang hadir.
Pelancaran lagu Sejarah yang istimewa pada hari tersebut menjadi pelengkap kepada tema penghargaan.
Lagu hasil gandingan Erwin Gutawa dan Gita Gutawa ini menggambarkan perjalanan hidup penuh pengalaman, melambangkan nilai syukur dalam setiap fasa kehidupan, termasuk kerjasama erat Siti dengan pihak media.
Erwin meminta Gita menulis lirik yang menyentuh tentang perjalanan hidup seseorang, penuh dengan pengalaman yang kaya, serta rasa syukur yang diungkapkan dalam setiap bait lagu.
Universal Music turut menyampaikan plak penghargaan kepada Siti atas pelancaran single Sejarah dan gelaran Biduanita Negara yang diterimanya baru-baru ini.