Saya Masih Sayangkan Fazura, Tahu Permohonan Cerai Melalui Media Sosial – Fattah
- oleh Mohd Indera
- 4 minggu lalu
Kuala Lumpur: “Saya ingin menegaskan tiada wanita lain dalam hidup saya seperti diperkatakan dan dihebohkan di media sosial sehingga kini.”
Demikian kata pelakon Fattah Amin mengenai dakwaan dia bersikap curang terhadap Nur Fazura sehingga isterinya itu memfailkan perceraian di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, Shah Alam, semalam.
Fattah juga terkejut apabila hanya mengetahui isterinya itu memfailkan perceraian melalui media sosial.
“Sejujurnya, saya hanya mengetahui mengenai permohonan perceraian yang difailkan terhadap saya melalui media sosial, terutamanya selepas ia ditularkan.
“Saya berasa amat terkejut dan sedih dengan perkhabaran berita ini. Malah, tanpa sebarang rasa ragu-ragu, saya masih menyayangi Faz (panggilan Fazura),” katanya seperti dilaporkan Harian Metro.
Menurut Fattah, dia berharap orang luar dapat mendoakan yang terbaik buat dirinya dan isu keretakan rumah tangganya dapat diselesaikan secara tenang .
“Walau apa pun yang terjadi, saya dengan rendah diri memohon doa yang baik-baik dan sokongan daripada kalian semua tidak kira yang pernah mengenali mahupun yang tidak mengenali kami secara peribadi.
“Moga segala urusan kami berdua dipermudahkan dan diselesaikan dengan baik serta penuh ketenangan.
“Saya juga berharap agar tiada campur tangan daripada pihak lain yang boleh mengeruhkan lagi situasi ini. Terima kasih atas segala perhatian dan doa kalian,” katanya.
Untuk rekod, pasangan itu sudah berkahwin selama tujuh tahun dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Nur Fatima Aisya yang kini berusia empat tahun.