Gaya Hidup
Tracie Sinidol Kini Wajah Baharu Carlo Rino
26 May 2026

Jenama fesyen dan gaya hidup terkemuka, Carlo Rino, secara rasmi mengumumkan pelakon popular tanah air, Tracie Sinidol, sebagai duta jenama rasminya yang baharu.

Pelantikan bintang muda yang semakin meningkat naik ini menandakan lembaran baharu buat Carlo Rino dalam memperkukuh hubungannya dengan golongan wanita moden menerusi elemen keyakinan, keunikan peribadi, dan ekspresi diri.

Mempunyai personaliti yang ceria, pesona yang dekat di hati peminat, serta pengaruh yang kian meluas, Tracie dilihat sebagai representasi sempurna kepada imej Carlo Rino yang berjiwa muda, moden, dan feminin.

Pengarah Urusan Carlo Rino, Dato’ Sri Chiang Fong Yee berkata, pemilihan Tracie adalah bertepatan dengan evolusi jenama itu yang kini memfokuskan kepada usaha mendekati generasi muda yang mementingkan gaya.

“Tracie mewakili wanita moden Carlo Rino dengan sempurna. Beliau seorang yang yakin, bergaya, mengikut trend, dan mempunyai personaliti yang kuat.

“Pengaruh beliau yang semakin berkembang serta hubungan autentik dengan audiens muda menjadikannya calon paling sesuai untuk bersama kami dalam terus menginspirasikan generasi wanita yang mementingkan fesyen,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menerusi kerjasama ini, Tracie bakal mewakili Carlo Rino bagi pelbagai kategori produk gaya hidup merangkumi beg tangan, kasut, penjagaan kulit, wangian, dan aksesori.

Sementara itu, Tracie meluahkan rasa teruja atas pelantikan tersebut dan menyifatkan kolaborasi ini sebagai sesuatu yang sangat semula jadi dengan gaya hidup seharian beliau.

“Apa yang saya gemari tentang Carlo Rino adalah bagaimana jenama ini mendorong wanita untuk mengekspresikan diri dengan yakin sambil berseronok dengan fesyen.

“Reka bentuknya kelihatan muda, serba boleh, dan sangat serasi dengan gaya hidup saya. Saya tidak sabar untuk mencipta lebih banyak inspirasi fesyen yang menarik bersama Carlo Rino,” katanya.

Nama Tracie Sinidol kini semakin menjadi sebutan dalam industri hiburan tempatan, khususnya selepas penampilan memukau beliau dalam filem terbaharu Malaikat Malam yang membuktikan bakat besar dan karisma beliau di layar perak.

Selain mengetengahkan trend fesyen terkini, kolaborasi ini turut mencerminkan komitmen Carlo Rino dalam memperkasakan wanita untuk tampil yakin, moden, dan versatil dalam menjalani kehidupan seharian mereka.

Konsert
KL Headline Season 2026: Kuala Lumpur Kini Hab Konsert Utama Asia, Sasar 500,000 Peminat
26 May 2026

Kuala Lumpur kini melangkah megah sebagai antara destinasi utama di rantau Asia bagi jelajah muzik antarabangsa menerusi pelancaran inisiatif penanda aras, KL Headline Season 2026.

Inisiatif strategik yang dianjurkan oleh Live Nation Malaysia dengan kerjasama PR Worldwide, Tourism Malaysia, dan CelcomDigi itu dijadualkan menjadi tuan rumah kepada 25 persembahan muzik antarabangsa sepanjang tahun ini.

Langkah agresif itu dijangka mampu menarik kehadiran lebih 500,000 peminat muzik tempatan dan serantau merentasi enam lokasi utama di sekitar ibu negara.

Menteri Wilayah Persekutuan, YB Puan Hannah Yeoh Tseow Suan berkata, penganjuran konsert dan acara berskala besar seumpama ini memainkan peranan kritikal dalam menyokong kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026) yang menyasarkan ketibaan 47 million pelancong antarabangsa.

“Tahun Melawat Malaysia 2026 memberi fokus kepada pengukuhan kedudukan Malaysia sebagai destinasi utama pelancongan bernilai tinggi, dan hiburan langsung memainkan peranan penting dalam usaha tersebut.

“Konsert dan acara berskala besar bukan sahaja menarik pelancong antarabangsa, malah turut menyumbang kepada keseluruhan ekosistem pelancongan, daripada sektor hospitaliti hinggalah perniagaan tempatan,” katanya dalam satu majlis perlancaran yang diadakan di Kuala Lumpur Convention Centre, di sini, semalam.

KL Headline Season 2026 menampilkan barisan artis gergasi global paling padat dalam sejarah penganjuran acara di ibu kota.

Antara nama besar yang disahkan bakal menggegarkan pentas termasuk bintang K-Pop BTS, The Weeknd, Post Malone, Lany, Laufey, Bryan Adams, DAY 6, TREASURE, dan Daniel Caesar.

Sementara itu, Pengarah Urusan Live Nation Malaysia, Paramananthan Rajagopal menjelaskan bahawa kelebihan geografi Kuala Lumpur yang terletak dalam lingkungan empat jam penerbangan dari bandar-bandar utama Asia memberikan kecekapan logistik yang sangat tinggi buat pengurusan artis antarabangsa.

“Melalui KL Headline Season, kami sedang membina rentak persembahan langsung yang konsisten untuk dinantikan dan dirancang oleh peminat. Dengan menjadikan Kuala Lumpur sebagai lokasi utama lebih banyak konsert, kami membantu menjadikan bandar ini sebagai hentian tetap dalam jelajah Asia,” jelas beliau.

Pihak industri telekomunikasi turut melihat inisiatif ini sebagai platform terbaik bagi merapatkan jurang digital dan gaya hidup pelanggan.

Ketua Perkhidmatan Jenama & Pemasaran CelcomDigi, Chan May Ling berkata, sebagai syarikat telekomunikasi terbesar negara, rangkaian mereka akan memastikan pengalaman hiburan bertaraf dunia ini dapat diakses secara besar-besaran oleh lebih 20 juta pelanggan mereka.

Pelaksanaan siri konsert sepanjang tahun ini dijangka memberikan limpahan impak ekonomi yang signifikan bukan sahaja melalui jualan tiket, malah memberi keuntungan terus kepada pelbagai rantaian sektor domestik seperti penerbangan, perhotelan, peruncitan, serta industri makanan dan minuman (F&B).

Maklumat lanjut mengenai jadual penuh persembahan dan jualan tiket boleh didapati dengan melayari laman web rasmi di https://www.livenation.my/.

Semasa
Nur Izzati Ditemui Meninggal Dunia 500 Meter Dari Lokasi Terakhir
26 May 2026

Misteri kehilangan seorang remaja perempuan yang dilaporkan sesat ketika menuruni Bukit Changkat Asa di sini sejak Sabtu lepas, berakhir dengan tragedi apabila jasadnya ditemukan meninggal dunia hari ini.

Mayat Nur Izzati Humaira Azizul, 19, ditemukan oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) pada jam 11.59 pagi di sebuah kawasan kebun berhampiran, selepas empat hari operasi pencarian dilancarkan.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, jasad mangsa ditemui di luar daripada laluan pendakian rasmi bukit berkenaan.

“Mangsa ditemukan kira-kira 500 meter dari lokasi terakhir dia dilihat dan dianggarkan satu kilometer dari Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK).

“Pasukan penyelamat mengambil masa kira-kira 20 minit untuk membawa keluar jasad mangsa dari kawasan tersebut menggunakan pengusung akibat bentuk muka bumi,” katanya seperti dilaporkan BERNAMA.

Menurut Ahmad Mukhlis, mangsa sebelum ini dilaporkan mendaki bukit tersebut bersama ahli keluarganya sebelum mengambil keputusan untuk turun ke bawah bersendirian terlebih dahulu kerana mengadu penat dan cuaca panas.

Operasi SAR yang memasuki hari keempat hari ini melibatkan kekuatan anggota daripada pelbagai agensi keselamatan termasuk unit anjing pengesan (K9) JBPM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor ketika dihubungi mengesahkan penemuan tersebut dan menyatakan mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk proses bedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematian.

Kes setakat ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Terdahulu, media melaporkan Nur Izzati disedari hilang pada petang Sabtu lalu selepas aktiviti mendaki bersama ahli keluarganya.

Mangsa dikatakan mengambil keputusan untuk berjalan turun ke kaki bukit secara bersendirian terlebih dahulu kerana mengadu penat dan cuaca panas, manakala ahli keluarganya yang lain masih berada di kawasan atas.

Foto: BOMBA.

Muzik
‘Tak Berlagu’ Ernie Zakri Dipilih Sebagai OST Filem ‘Khadam’
26 May 2026

Penyanyi bervokal mantap, Ernie Zakri, dipilih bagi menyampaikan lagu tema rasmi (OST) filem seram dramatik terbaharu, Khadam, menerusi naskhah berjudul ‘Tak Berlagu’.

Karya yang sarat dengan emosi itu menggambarkan rintihan, kasih sayang, dan pengorbanan seorang ibu dalam melindungi insan tersayang, sekali gus menterjemahkan perjalanan plot filem berkenaan ke dalam bentuk muzik.

Dicipta sepenuhnya mengikut perkembangan emosi watak Melor, melodi ‘Tak Berlagu’ bermula dengan nada tenang sebelum beralih kepada runtun jiwa yang semakin berat, selari dengan konflik yang dihadapi watak utama itu.

Ernie, 34, mengakui keputusan untuk terlibat dalam projek ini hadir daripada hubungan emosi yang kuat terhadap jalan cerita yang dibawakan.

“Saya terpanggil kerana kisah ini sangat dekat dengan perasaan saya sebagai seorang ibu. Apabila mendapat tahu ia merupakan kerjasama antara Rendra Zawawi dan NJWA, saya terus yakin untuk menerimanya.

“Malah, sepanjang proses rakaman, air mata saya tidak berhenti mengalir kerana saya benar-benar dapat merasai keperitan emosi watak berkenaan,” katanya.

‘Tak Berlagu’ merupakan gubahan bersama Rendra Zawawi dan NJWA, manakala liriknya ditulis sepenuhnya oleh NJWA.

Penerbit Eksekutif Khadam, Datuk Ahmad Izham Omar berkata, kekuatan lagu ini terletak pada susunan muziknya yang dirancang dengan teliti bagi membentuk pengalaman keseluruhan filem, berbeza dengan genre seram biasa yang hanya bergantung kepada elemen kejutan (jump scare).

Menambah merit kepada kualiti produksi, lagu ini diadun oleh Alvin Wee di Los Angeles dan melalui proses mastering oleh Jett Galindo — yang kedua-duanya merupakan pemenang Anugerah Grammy. Ia turut menggunakan rakaman orkestrasi alat muzik akustik secara langsung seperti piano, violin, viola, cello, dan double bass.

Sementara itu, Pengarah Kanan A&R dan Pengurusan Artis Universal Music Malaysia, Hermond Cheng menjelaskan, pemilihan Ernie dibuat berdasarkan kemampuan uniknya mengawal vokal dinamik serta menterjemahkan kesakitan dan harapan dengan jujur.

Projek ini merupakan kolaborasi strategik antara Komet Productions, Red Communications, dan Universal Music Malaysia dalam menggabungkan kepakaran produksi filem serta penerbitan muzik.

‘Tak Berlagu’ kini boleh didengari di semua platform penstriman digital, manakala filem Khadam dijadualkan menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 11 Jun ini.

Muzik
Thee Marloes Muncul Dengan Album Kedua ‘Di Hotel Malibu’
25 May 2026

Trio muzik soul sensasi dari Surabaya, Indonesia, Thee Marloes, kembali menggegarkan industri muzik antarabangsa dengan pelancaran album kedua mereka yang berjudul Di Hotel Malibu.

Album yang memuatkan 14 buah lagu itu dilancarkan secara rasmi pada 22 Mei lalu menerusi label rakaman antarabangsa terkemuka, Big Crown Records.

Pelancaran Di Hotel Malibu menandakan satu fasa evolusi penting buat kumpulan itu, selepas dua tahun album sulung mereka, Perak, berjaya melonjakkan nama mereka di pentas global.

Menurut kenyataan Big Crown Records, album baharu ini memperlihatkan keberanian Thee Marloes untuk keluar daripada kepompong zon selesa, sekali gus menawarkan susunan muzik yang lebih terbuka, dinamik, dan eksperimental tanpa mengetepikan identiti budaya Indonesia yang menjadi akar umbi mereka.

“Album ini merupakan respons terhadap fasa kehidupan yang dilalui oleh ahli kumpulan sepanjang dua tahun kebelakangan ini, merangkumi realiti sosial, dinamika percintaan, serta impak daripada kejayaan yang mereka kecapi.

“Menerusi Di Hotel Malibu, mereka kekal setia dengan genre soul, namun tampil lebih bebas bereksperimen dari segi struktur lagu, warna instrumen baharu, serta pendekatan muzikal yang lebih cair,” kata kenyataan itu.

Thee Marloes yang dianggotai oleh Natassya Sianturi selaku vokalis dan pemain papan kekunci, Sinatrya Dharaka (gitaris/penerbit), dan Tommy Satwick (pemain dram), terkenal dengan keupayaan mereka menghasilkan muzik yang matang berasaskan keserasian groove yang kuat.

Antara naskhah menarik yang dimuatkan dalam album ini termasuklah single utama yang menggunakan judul sama, Di Hotel Malibu, selain beberapa lagu yang telah dilancarkan sebelum ini seperti Harap dan Ragu, I’d Be Lost, dan What’s On Your Mind.

Sempena pelancaran album ini, peminat juga kini boleh menonton video muzik rasmi bagi lagu Under the Silver Moon di platform digital, dengan menampilkan sentuhan estetika visual menerusi foto arahan Raka Syahreza.

Didorong oleh perhatian dan sokongan padu peminat global, Thee Marloes kini bersiap sedia untuk memulakan siri jelajah dunia bagi mempromosikan album ini, sekali gus membawa muzik soul unik dari Surabaya ke pentas yang lebih besar.

Filem
‘Kata Hati’ Suntik Elemen Aksi Dalam Manis Romantik Komedi
25 May 2026

Selepas hampir tujuh tahun sejak naskhah thriller psikologi Motif, pengarah berkaliber, Nadiah Hamzah kini kembali mengubati kerinduan peminat dengan filem terbaharunya berjudul Kata Hati.

Menariknya, naskhah terbitan bersama Wayangworks Sdn Bhd dan Filmscape Sdn Bhd ini bukan sekadar filem cinta biasa, sebaliknya ia merupakan sebuah garapan segar yang menggabungkan elemen romantik komedi dengan suntikan aksi.

Nadiah berkata, selepas mengarahkan sebuah naskhah yang agak berat sebelum ini, beliau sememangnya memasang niat untuk tampil dengan sebuah karya yang lebih ringan, santai dan mampu menghiburkan emosi penonton.

“Bukan saya nak mengisi kekosongan apa-apa. Cuma waktu itu memang saya, selepas filem Motif yang sangat serius tujuh tahun lepas, saya memang mahukan sesuatu yang light (ringan), fun (menyeronokkan) dan cantik.

“Saya mahu buat semua orang rasa macam have butterflies in their tummies (teruja) dan rasa ‘aww’. Sebab itulah saya memilih untuk menghasilkan genre romantik komedi,” katanya semasa ditemui pada majlis tayangan media filem berkenaan di GSC Mid Valley, baru-baru ini.

Bagaimanapun, Nadiah menjelaskan beliau tidak mahu naskhah ini kelihatan terlalu biasa, lalu mengambil pendekatan kreatif dengan menyelitkan elemen dinamik ke dalam penceritaan.

“Bukan saya saja-saja nak jadi lain, tapi saya ada letak juga elemen aksi (dalam filem ini). Jadi, ia pakej yang lengkap,” tambahnya lagi.

Filem Kata Hati mengangkat kisah cinta luar biasa dan penuh humor antara Ayra Natasha (lakonan Nia Atasha), seorang pelakon wanita popular yang sedang meningkat naik, dengan Imran Firdaus (Yusof Hashim), seorang pemandu peribadi yang juga pemandu perkhidmatan e-hailing.

Mengulas mengenai pemilihan teraju utama, Nadiah mengakui barisan pelakon muda yang dipilih menerusi sesi uji bakat (casting) itu berjaya memberikan kejutan luar biasa buat dirinya sepanjang di set penggambaran.

“Nia, Yusof dan Fazziq (Muqris) dipilih menerusi sesi uji bakat dan tidak dinafikan mereka adalah pendatang baharu dalam dunia layar lebar.

“Namun begitu, apa yang paling mengejutkan buat saya adalah kesungguhan mereka untuk memberikan sebuah lakonan yang mantap. Komitmen ketiga-tiganya memang wajar dipuji,” jelasnya yang berharap penonton dapat meraikan sebuah kisah cinta manusiawi yang jujur.

Selain menampilkan gandingan mantap Nia Atasha, Yusof Hashim dan Fazziq Muqris, filem ini turut diperkuatkan dengan nama-nama popular seperti Scha Alyahya, Taqim Zaki dan Norreen Iman.

Malah, kehangatan filem ini bakal ditambah dengan kemunculan barisan pelakon gred A tanah air sebagai penampilan khas (cameo) antaranya Beto Kusyairy, Nabila Huda, Liyana Jasmay, Nina Kho dan Shweta Sekhon.

Sesi penggambaran naskhah yang disifatkan sebagai ‘modern fairy tale’ ini telah dijalankan pada awal Ogos tahun lalu di sekitar Kuala Lumpur dan Kuantan, Pahang.

Bagi penonton dan peminat tegar genre romantik komedi tempatan, Kata Hati bakal menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 4 Jun 2026.

Komuniti
Hasil Aspirasi Menteri Agama, PU Riz Lancar Program Quranic Madani Pertama di Rumah Titian Kaseh
24 May 2026

Seiring dengan aspirasi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan dalam membantu golongan asnaf dan masyarakat yang memerlukan, program Quranic Madani berjaya dilaksanakan di lokasi pertamanya di rumah kebajikan, Rumah Titian Kaseh, di sini baru-baru ini.

Program yang digerakkan oleh pendakwah bebas, Ustaz Muhammad Haris atau PU Riz itu terus menerima sambutan positif apabila program berteraskan pengajaran al-Quran dan tajwid itu menghimpunkan penghuni rumah kebajikan itu yang juga golongan asnaf dan kurang berkemampuan dalam usaha memperkukuhkan kefahaman serta bacaan al-Quran sejak usia muda.

PU Riz menyifatkan inisiatif berkenaan sebagai satu usaha murni yang wajar diperluaskan ke seluruh negara bagi memastikan penguasaan kitab suci itu dapat diterapkan secara menyeluruh.

“Alhamdulillah, hari ini kita akan mulakan sesi Quranic Madani ataupun sesi pengajaran al-Qur’an dan tajwid di Rumah Titian Kaseh ini. Bermula dengan anak-anak sekecil lapan tahun sampailah belasan tahun yang ada dalam kelas.

“Secara keseluruhan, Alhamdulillah sesi baik. Semua dapat manfaat,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, beliau berharap Quranic Madani dapat menjadi platform berterusan dalam melahirkan masyarakat yang celik al-Quran dan mampu membaca kitab suci itu dengan baik serta bertajwid.

“Alhamdulillah atas usaha ini, semoga semua orang di Kuala Lumpur, di seluruh Malaysia dapat belajar al-Quran dan membaca al-Quran dengan baik. Allahuakbar,” tambah beliau.

Program Quranic Madani dijangka diperluaskan ke beberapa lagi lokasi selepas ini sebagai usaha mendekati masyarakat dan memastikan pendidikan al-Quran dapat diakses oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang.

Terdahulu, Dr Zulkifli Hasan memaklumkan bahawa kerajaan berhasrat memperbesar skala penganjuran program kerohanian “Quranic MADANI” demi menyebarkan mesej kedamaian, kasih sayang, dan kebersamaan dengan lebih menyeluruh dalam kalangan masyarakat.

Program dengan pengisian selawat, zikir, munajat dan tazkirah itu ialah landasan penting dalam membentuk keharmonian negara.

Muzik
Iman’s League Pertaruh ‘Satu Suara’ Gandingkan Noh Salleh, Aska Rockers
24 May 2026

Selepas hampir dua dekad mewarnai industri muzik, kumpulan melodic punk rock terkemuka Singapura, Iman’s League, kembali menggegarkan pasaran serantau menerusi pelancaran single terbaharu mereka berjudul Satu Suara.

Istimewanya kali ini, band yang ditubuhkan sejak 19 tahun lalu itu mempertaruhkan formula kolaborasi mega dengan menggandakan kekuatan vokal ikon rock Malaysia, Noh Salleh, serta figura punk rock terkenal Indonesia, Aska daripada kumpulan Rocket Rockers.

Gabungan tiga identiti muzik dari Singapura, Malaysia, dan Indonesia ini bukan sekadar satu eksperimen, malah membawa mesej yang cukup mendalam mengenai erti perpaduan, ketahanan, dan kebersamaan merentasi sempadan Nusantara.

Mengekalkan DNA melodic punk rock yang menjadi tanda dagang Iman’s League, Satu Suara diperkuatkan lagi dengan bait lirik yang penuh jiwa, melodi bertenaga, serta corak penyampaian yang sarat emosi.

Ia sekali gus mencerminkan kematangan serta evolusi muzikal yang dilalui oleh band ini sepanjang perjalanan seni mereka.

Bagi memastikan naskhah ini mendapat capaian maksimum di Malaysia, Iman’s League mengorak langkah strategik dengan menjalinkan kerjasama bersama label tempatan tersohor, Luncai Emas Sdn Bhd, yang bertindak selaku pengedar digital dan pentadbir hak cipta rasmi.

Pelancaran single berbahasa Melayu ini juga merupakan kesinambungan daripada fasa gemilang kumpulan berkenaan selepas memulakan tahun 2025 dengan siri jelajah Eropah yang meliputi Belanda, Perancis, Belgium, dan Jerman, selain pelancaran album studio kelapan mereka, Where Do We Go From Here.

Sebagai pengukuhan terhadap promosi Satu Suara, Iman’s League dijadualkan bakal mengadakan siri jelajah khas ke Taiwan, Malaysia, dan Indonesia sepanjang bulan Mei dan Jun ini bagi bertemu peminat setia mereka secara dekat.

Sebelum ini, band yang pernah dinobatkan sebagai Band Terbaik dan Lagu Terbaik di Anugerah Planet Muzik (APM) 2015 itu sering menjadi perhatian pengkritik muzik antarabangsa sehingga pernah diberi penghormatan berkongsi pentas dengan nama-nama besar dunia seperti Sick of It All, Neck Deep, dan All Time Low.

Single Satu Suara kini sudah boleh didengari di semua pelantar penstriman digital utama, manakala video muzik rasmi lagu berkenaan juga sedia ditonton menerusi saluran YouTube bermula 15 Mei lalu.

Filem
Ulasan: ‘COLONY’ Saji Aksi Zombi Mendebarkan di Pencakar Langit Seoul
23 May 2026

Sepuluh tahun selepas fenomena filem thriller zombi pecah panggung Train To Busan, pengarah tersohor Korea Selatan, Yeon Sang-ho, kembali mewarnai layar perak menerusi naskhah seram terbaharunya berjudul COLONY.

Ditayangkan dalam slot berprestij Cannes Midnight di Festival Filem Cannes, filem berdurasi 122 minit ini membuktikan bahawa Yeon masih mempunyai formula ampuh dalam menghasilkan karya seram zombi yang menghiburkan, meskipun impaknya mungkin tidak seperti filem pertamanya itu.

Berlatarbelakangkan sebuah bangunan pencakar langit moden yang ikonik di tengah-tengah bandar raya Seoul, COLONY memulakan konfliknya apabila Young-chul (lakonan bintang Peninsula, Koo Kyo-hwan), seorang bekas pekerja bioteknologi yang kecewa kerana idea penyelidikannya dicuri, melancarkan serangan keganasan biologi.

Beliau melepaskan sejenis virus berbahaya yang menukarkan sesiapa sahaja yang dijangkiti menjadi makhluk ganas, mengerikan, dan pemakan manusia.

Sekatan (lockdown) ketat segera dikuatkuasakan oleh pihak berkuasa ke atas bangunan tersebut. Keadaan menjadi lebih rumit apabila virus berkenaan hanya boleh dihentikan menggunakan antibodi yang ada dalam tubuh Young-chul sendiri.

Dalam situasi penuh panik, sekumpulan mangsa yang terselamat termasuk Profesor Se-jeong (Gianna Jun), pengawal keselamatan Hyun-seok (Ji Chang-wook) dan adik perempuannya yang lumpuh serta pakar IT, Hyun-hee (Kim Shin-rock) terpaksa bekerjasama untuk memburu Young-chul dan membawanya ke bumbung bangunan demi menyelamatkan diri.

Mengambil inspirasi daripada filem klasik George A. Romero, Dawn Of The Dead, Yeon bersama pengarah sinematografi, Byun Bong-sun, bijak memanipulasi ruang bangunan tinggi tersebut.

Dari kawasan pusat beli-belah yang luas hinggalah ke ruang pejabat, lif, dan ruang bawah tanah yang sempit serta berorientasikan unsur klaustrofobia, setiap babak diatur dengan komposisi warna dan sudut kamera yang memukau.

Zombi dalam COLONY juga tampil berbeza, tidak sekadar merangkak atau bergerak pantas, virus dalam filem ini memberikan mereka keupayaan ‘minda sarang’ (hive mind) di mana makhluk-makhluk ini boleh belajar, berevolusi, dan berkongsi maklumat satu elemen menarik yang mengingatkan penonton kepada siri popular The Last Of Us.

Bagaimanapun, bagi sebuah filem yang berdurasi lebih dua jam, COLONY dilihat sedikit meleret dalam beberapa fasa.

Berbeza dengan ketegangan tanpa henti dalam kereta api menerusi Train To Busan, ruang bangunan yang besar dalam filem ini memberi banyak tempat untuk karakter manusia bersembunyi.

Ini mengakibatkan wujudnya babak perbincangan strategi yang agak panjang, yang malangnya gagal disokong oleh pembangunan karakter yang mendalam.

Watak Profesor Se-jeong (Gianna Jun) dilihat sekadar berfungsi sebagai penyampai eksposisi, manakala kemunculan sekumpulan watak remaja dalam filem ini lebih kepada mencetuskan keputusan bodoh bagi meningkatkan elemen bahaya.

Mujurlah, dinamika hubungan adik-beradik antara Hyun-seok dan Hyun-hee berjaya memberikan sedikit suntikan emosi dan simpati yang diperlukan bagi menggerakkan jiwa filem ini.

Yeon turut cuba menyuntik kritikan sosial moden mengenai kebimbangan terhadap pengawasan (surveillance), trauma pasca-pandemik, dan penularan maklumat palsu yang bertindak seperti “virus” dalam masyarakat hari ini.

Sungguhpun idea-idea bernas ini tidak diteroka secara mendalam dan sekadar menjadi latar hiasan, ia tetap menambah rempah kepada plot utama.

Namun, dengan aksi koreografi yang pantas, kesan khas yang mengerikan, dan barisan pelakon gred-A Korea Selatan, filem ini menjanjikan kepuasan tontonan yang maksimum terutamanya bagi peminat tegar genre seram zombi.

COLONY sudah mula menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 22 Mei ini.

Muzik
Wings New Era: “Kami Tak Kejar Masa, Kami Cari Magis”- Dato’ Awie
23 May 2026

Kumpulan rock legenda tanah air, Wings, tidak mahu terburu-buru dalam melengkapkan album terbaharu mereka, sebaliknya lebih selesa mengambil masa bertahun-tahun demi memastikan karya yang dihasilkan memiliki ‘magis’ dan kualiti yang tinggi.

​Vokalis utamanya, Dato’ Awie menyifatkan proses pembikinan album yang sedang berjalan itu sebagai satu eksperimen besar yang tidak terikat dengan sebarang had masa atau tekanan komersial.

Menurut Awie, album yang diberi nama Wings New Era itu bakal diterbitkan dalam bentuk box set dan bakal memuatkan 20 buah lagu yang dibahagikan kepada dua konsep muzik yang kontras dalam satu naskhah.

​Satu album bakal menyaksikan penglibatan maestro tersohor, Dato’ M. Nasir yang akan mengemudi genre Nusantara Rock, manakala satu lagi album akan dikendalikan oleh Edrie Hashim yang bakal membawa pengaruh New Metal bagi memenuhi cita rasa generasi masa kini.

​”Kita nak buat eksperimen sebab dalam Malaysia rasanya belum ada lagi yang keluarkan ‘dua sentak’ (dua genre serentak). Kita nak create satu barang baru supaya sekali keluar, ada 20 lagu. Kita lantik Edrie sebagai pengarah muzik dan produser, manakala Dato’ M. Nasir untuk satu bahagian lagi,” jelas beliau.

​Menjelaskan mengenai kolaborasi bersama M. Nasir, Awie berkata keutamaan mereka adalah untuk mendapatkan komposisi luar biasa yang sering menjadi identiti maestro tersebut secara spontan di studio.

​Beliau mendedahkan bahawa Wings sanggup melupuskan 16 buah lagu yang telah siap dirakam sebelum ini semata-mata kerana mahu merakamkan semula karya yang lebih menepati jiwa dan konsep terbaharu mereka.

​”Kita tak ada tetapkan had masa lagi, masih lagi tengah mendapatkan ‘magic’ daripada Dato’ M. Nasir. Kita tak perlu nak ‘rushing’ pun. Biarlah semua bekerja dengan elok. Saya bukan nak macam dulu, kena kejar masa. Kita tak ada apa-apa nak kejar dah, cuma nak cari masa dan lagu yang sesuai supaya bila orang dengar, mereka happy,” katanya.

​Selain kekuatan melodi, Awie turut berkongsi mengenai evolusi penulisan lirik Wings yang kini lebih matang dan mendalam.

Mengakui sudah meninggalkan tema cinta romantis yang klise, album kali ini akan lebih banyak bercerita tentang tokoh sejarah dan mesej ketuhanan.

​Antara tajuk lagu yang didedahkan termasuklah Khalifah Empat, Ibrahim, dan Ali, yang mana liriknya digarap oleh penulis tersohor seperti S. Amin Sahab serta lirik peninggalan Allahyarham Loloq.

​”Kita lebih kepada lirik-lirik sejarah. Kita tak ada lagi dah kisah nama-nama perempuan. Mungkin kalau dengar macam cinta, tapi sebenarnya cinta Tuhan, puja Tuhan. Daripada dulu lagi macam lagu ‘Anugerah’ dan ‘Dari Tuhan’, kita memang ke arah itu,” tambahnya lagi.

Dalam rangka promosi album terbaharu itu, Wings akan mengadakan siri jelajah ‘Wings Sunday Night Live’ di Hard Rock Cafe Kuala Lumpur pada 5 Julai 2026, diikuti Hard Rock Cafe Melaka pada minggu seterusnya, 12 Julai 2026.

Tiket-tiket ditawarkan pada harga RM189 dan boleh ditempah secara dalam talian melalui Facebook Sayap Wings atau pembelian terus (walk-in) di Hard Rock Cafe.