Ikuti Kami:

Rakyat Ambil Alih Tugas, Beri Laluan Barisan Hadapan “Berehat”

Rakyat Ambil Alih Tugas, Beri Laluan Barisan Hadapan “Berehat”

Kini tiba giliran rakyat Malaysia memikul tanggungjawab membendung penularan wabak COVID-19 untuk memberi peluang petugas barisan hadapan ‘berehat’.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata demikian dalam sidang video kira-kira 30 minit bersama wakil petugas barisan hadapan yang terbabit dalam menangani COVID-19.

Sidang video itu disertai wakil Kementerian Kesihatan Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen; Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Jabatan Sukarelawan Malaysia.

Muhyiddin berkata sekiranya rakyat memainkan peranan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan (KKM) beban tugas yang dipikul petugas barisan hadapan ketika ini dapat dikurangkan.

“Kita (petugas barisan hadapan) selama berbulan-bulan ini kita ambil langkah ke hadapan sebagai frontliners (petugas barisan hadapan), tetapi slowly but surely selepas ini rakyatlah harus memikul tanggungjawab untuk menentukan supaya wabak COVID-19 ini tidak menular.”

Muhyiddin turut menambah pimpinan setempat perlu memainkan peranan mulai sekarang untuk memastikan penduduk sudah bersedia secara berperingkat untuk menjaga komuniti mereka sebelum kerajaan memutuskan untuk menamatkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) satu masa nanti.

“Tetapi saya jangka mungkin ke hadapan nanti, akan kita buat secara berfasa-fasa supaya tidaklah kita (frontliners) menanggung segala tugas dan tanggungjawab terletak 100 peratus di atas bahu kita.” 

Dalam sidang video itu, Muhyiddin turut menzahirkan ucapan terima kasih atas peranan dan sumbangan yang dicurahkan oleh petugas barisan hadapan selama ini dan turut mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua yang terlibat.

Foto : Facebook Muhyiddin Yassin

Komen
Loading...