‘Raise The Star Malaysia’ Tawar Peluang Bersinar Bersama Komposer Ternama
- oleh Mohd Indera
- 6 hari lalu

Program realiti nyanyian digital terbaharu, Raise The Star Malaysia, bakal menjadi platform istimewa buat bakat baharu tempatan untuk menyerlah bersama lima nama besar dalam industri muzik tanah air.
Astro selaku penganjur memperkenalkan konsep unik dalam pencarian bakat kali ini dengan menampilkan Ajai, Aina Abdul, Shila Amzah, Audi Mok dan Ikhwan Fatanna sebagai komposer dan mentor utama.
Mereka akan membimbing peserta sepanjang lapan minggu pertandingan dan berperanan memilih suara terbaik untuk menyampaikan karya asli ciptaan mereka.
Sebanyak 30 peserta akan dipilih daripada ribuan penyertaan yang diterima menerusi uji bakat dalam talian dan fizikal. Peserta bukan sahaja dinilai oleh juri profesional, malah perlu meraih undian peminat secara dalam talian bagi memastikan kedudukan mereka kekal dalam pertandingan.
Peserta dengan markah tertinggi dan sokongan padu bakal mara dan berpeluang dipilih sebagai penyanyi utama kepada lagu-lagu baharu yang bakal diterbitkan.
Antara komposer dan mentor utama, Ikhwan Fatanna, Audi Mok dan Ajai di Pra-pelancaran ‘Raise The Star Malaysia’ di MeleTOP.
Uji bakat secara fizikal akan berlangsung pada 10 dan 11 Mei 2025 bermula jam 8 pagi di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur.
Bagi mereka yang ingin menyertai secara dalam talian, penyertaan masih dibuka sehingga 8 Mei dengan menggunakan tanda pagar #RaiseTheStarMY di platform media sosial.
Program ini terbuka kepada semua warganegara Malaysia berumur 18 tahun ke atas, berbakat dalam bidang nyanyian dan berperwatakan menarik tanpa mengira latar belakang kaum.
Raise The Star Malaysia akan mula bersiaran pada 22 Jun hingga 10 Ogos 2025, setiap Ahad jam 9 malam di saluran Astro Ria (104), serta boleh ditonton melalui platform digital Astro GO, sooka, Astro On Demand dan Gempak.
Program ini turut mendapat tajaan utama daripada U Mobile dan dijangka menjadi fenomena baharu dalam landskap hiburan tempatan.
Maklumat lanjut dan syarat penyertaan boleh didapati di laman rasmi www.gempak.com/raisethestar.