Penyanyi tersohor dari Indonesia, Raisa, bakal kembali untuk konsert ketiganya di Malaysia, ‘RAISA – TERISTIMEWA DI KUALA LUMPUR’, yang akan diadakan pada 3 November 2024 di Megastar Arena, KL.
Konsert ini merupakan kolaborasi bersama Kharisma Music dan bakal menjadi acara yang dinantikan oleh peminat muzik tanah air.
En. Ahmad Jeffny, Ketua Pengarah Eksekutif dan Pengasas Kharisma Music, menyatakan bahawa pihaknya amat teruja dengan kepulangan Raisa ke Malaysia.
“Kami sangat teruja dengan kehadiran Raisa di Kuala Lumpur pada hari ini. Konsert ini bukan sekadar persembahan muzik yang hebat, tetapi juga peluang untuk merasai keindahan muzik Raisa secara langsung,” katanya.
Raisa, yang sebelum ini pernah mengadakan dua konsert besar di Malaysia, turut menyatakan rasa istimewa terhadap konsert kali ini.
“Ini konsert yang benar-benar ‘teristimewa’ buat saya dan anda semua. Segala persediaan dilakukan secara langsung oleh saya sendiri bersama pasukan, dan ia pasti berbeza dari konsert-konsert sebelumnya di KL!” katanya.
Sejak debut single ‘Serba Salah’ pada tahun 2011, Raisa terus mengukuhkan namanya di rantau Asia, memenangi pelbagai anugerah, termasuk ‘Artis Baru Terbaik’ di Anugerah Musik Indonesia ke-15.
Dalam konsert kali ini, Raisa dijangka akan membawakan lebih daripada 20 lagu hit, antaranya ‘Kali Kedua’, ‘Jatuh Hati’ dan ‘Mantan Terindah’, dengan iringan pemuzik profesional dari Indonesia.
Penonton akan disajikan dengan persembahan lebih dua jam yang dipenuhi kesan visual dan reka bentuk pentas yang menarik. Selain itu, peminat yang membeli tiket VVIP dan VIP berpeluang untuk menyertai sesi eksklusif ‘meet & greet’ bersama Raisa.
“Tiket hampir habis dijual, jadi pastikan anda tidak melepaskan peluang menyaksikan persembahan ‘teristimewa’ ini. Kami juga mengucapkan terima kasih kepada semua penaja seperti Garuda Indonesia, Alha Alfa, Intan Gelombang, Futurace, serta rakan media ERA dan Gempak.com,” tambah En. Ahmad Jeffny.
Tiket konsert ‘RAISA – TERISTIMEWA DI KUALA LUMPUR’ boleh didapati di laman web ticket2u.com.my/raisa. Pastikan anda mendapatkannya sebelum kehabisan!
Sebagai tambahan istimewa, Kharisma Music turut mengumumkan penyanyi popular Malaysia, Ernie Zakri, sebagai artis jemputan yang akan memeriahkan konsert ini.