Insurans Rayyan Dah Tamat 13 Tahun, ‘Pembayar Berhenti Bayar’ – Luahan Rita Rudaini
- oleh Mohd Indera
- 7 bulan lalu

Pelakon terkenal, Rita Rudaini baru-baru ini meluahkan rasa syukur selepas anak sulungnya, Airit Rayyan Rizqin selamat menjalani rawatan di hospital akibat kecederaan pada tangan, di mana beliau terpaksa bermalam di hospital hampir seminggu untuk memantau keadaan anaknya.
Rita turut berterima kasih kepada ahli keluarga dan rakan-rakan terdekat yang telah memberi sokongan sepanjang tempoh rawatan Rayyan. Walau bagaimanapun, yang menjadi perhatian dalam hantaran tersebut ialah pendedahan mengenai status insurans anaknya yang sudah tidak aktif.
Rita menjelaskan bahawa Rayyan tidak dapat menggunakan insurans bagi menampung kos rawatan kerana polisi insurans tersebut sebenarnya sudah ‘lapsed’ hampir 13 tahun.
Menurut Rita, polisi insurans yang diambil untuk Rayyan sejak kecil tidak lagi sah kerana pembayar insurans tersebut telah berhenti membayar tanpa pengetahuannya.
“Rayyan ada insurans sejak dia bayi, tapi saya tak pernah guna sebab tak pegang polisi. Rupa-rupanya insurans itu dah lapsed hampir 13 tahun sebab pembayarnya dah stop bayar,” kongsi Rita dalam Instagramnya.
Usaha untuk menutup akaun insurans lama gagal kerana individu yang bertanggungjawab membuka akaun tersebut enggan memberikan kerjasama bagi menandatangani dokumen penutupan. Akibat daripada itu, Rita tidak dapat mengambil insurans baru dari syarikat yang sama untuk Rayyan.
“Walaupun tandatangan itu percuma, orang yang buka akaun itu tak nak bekerjasama. Akhirnya, saya tak dapat ambil insurans dari syarikat yang sama untuk Rayyan,” tambahnya lagi.
Walaupun begitu, Rita tetap optimis dan percaya bahawa Allah sentiasa ada untuk membantunya. Dia berjanji akan terus berusaha mendapatkan perlindungan insurans yang lebih baik bagi kedua-dua anak lelakinya di masa akan datang, memastikan mereka mendapat rawatan yang terbaik sekiranya diperlukan.