Pencalonan FFM33: Mechamato Movie Bangga Promosi Malaysia ke Dunia
- oleh Mohd Indera
- 1 bulan lalu
Sesi Apresiasi Filem Mechamato Movie sempena Festival Filem Malaysia ke-33 (FFM33) telah berlangsung di GSC Mid Valley, Kuala Lumpur, sebagai platform meraikan dan membincangkan pencapaian filem animasi tersebut.
Dianjurkan oleh Jawatankuasa Apresiasi & Masterclass FFM33, sesi ini menampilkan barisan panel berpengaruh, iaitu pengarah kreatif dan pelakon suara Tok Aba, Encik Muhammad Anas Abdul Aziz; pengarah bersama, Encik Dzubir Mohammed Zakaria; serta moderator, Encik Ahmad Fedtri Yahya.
Dalam diskusi tersebut, Muhammad Anas Abdul Aziz menjelaskan bahawa setiap elemen dalam filem ini dirancang untuk mengetengahkan identiti Malaysia.
Seni mempertahankan diri silat, beca, rekaan bangunan berinspirasi tanjak, dan corak batik disulam indah dalam naratif dan visual filem ini.
“Kami mahu orang luar negara melihat Mechamato Movie dan merasai keunikan Malaysia. Dengan menonton filem ini, mereka bukan sahaja mengenal budaya kita tetapi juga tertarik untuk datang ke Malaysia,” katanya.
Sementara itu, Dzubir Mohammed Zakaria menyatakan bahawa setiap aspek filem dirancang dengan teliti untuk memastikan keseimbangan elemen jenaka, muzik, dan jalan cerita.
Pencalonan ini, menurut Dzubir, membuka peluang besar untuk animasi Malaysia terus mendapat perhatian di peringkat antarabangsa.
“Pencalonan ini adalah satu langkah besar. Kami berharap ia menjadi pemangkin untuk lebih banyak karya tempatan dikenali di peringkat global,” ujarnya.
Filem ini berjaya mencalonkan diri dalam kategori Filem Terbaik, Pengarah Terbaik, Penataan Bunyi Terbaik, Kesan Khas Terbaik, dan Poster Terbaik.
“Siapa yang tak mahu menang, tetapi dicalonkan adalah satu rezeki. Kami amat menghargai dan, insya-Allah, doakan yang terbaik untuk filem kami,” tambah Dzubir penuh harapan.
Mechamato Movie bukan sekadar animasi kanak-kanak tetapi satu penghormatan kepada budaya Malaysia yang kini semakin diterima dan dihargai sebagai karya seni bertaraf dunia.
Foto Oleh : FINAS.