Ikuti Kami:

Muhyiddin Gesa NAM Bantu Negara Kecil Tangani COVID-19

Muhyiddin Gesa NAM Bantu Negara Kecil Tangani COVID-19

KUALA LUMPUR: Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) perlu memainkan peranan penting bantu negara-negara kecil mendapat bekalan perubatan dan vaksin dalam memerangi COVID-19.

Justeru, Malaysia mengalu-alukan penubuhan Petugas Khas NAM, kata Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata demikian dalam ucapan Sidang Kemuncak Secara Dalam Talian NAM Berhubung COVID-19 yang berlangsung menerusi persidangan video, malam tadi.

Muhyiddin menegaskan Malaysia bimbang jika NAM tidak bersatu, negara-negara kecil akan dipinggirkan apabila ubat-ubatan dan vaksin dibangunkan syarikat farmasi besar di negara-negara maju.

“Kita mesti mengutuk sekeras-kerasnya sebarang bentuk pengisytiharan yang meminggirkan kepentingan negara anggota NAM apatah lagi di saat dunia sedang berdepan krisis Covid-19 ini,” katanya.

Menjelaskan mengenai penubuhan Petugas Khas NAM, Muhyiddin berkata, ia berfungsi membangunkan pangkalan data untuk keperluan kesihatan asas, termasuk mengenal pasti keperluan sosial serta kemanusiaan dalam kalangan negara anggota NAM.

“Kita tidak keseorangan dalam peperangan menentang musuh tidak kelihatan. Semua dalam kalangan kita sudah dan akan terus terkesan akibat COVID-19.

“Dengan itu, Malaysia mengalu-alukan penubuhan Petugas Khas NAM yang akan mewujudkan pangkalan data biasa untuk keperluan perubatan asas serta mengenal pasti keperluan sosial dan kemanusiaan negara anggota NAM,” katanya,

Mengenai usaha Malaysia, Muhyiddin berkata kerajaan telah membuat perancangan berdasarkan enam pendekatan untuk memastikan negara dapat menangani impak COVID-19 dan Malaysia kembali kepada situasi yang lebih baik daripada kerosakan akibat wabak itu.

“Pertama, bagi memutuskan rantaian penularan COVID-19, Malaysia telah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Sejak dilaksanakan pada 18 Mac lalu, ia telah memperlihatkan kesan yang positif. Bukan sahaja kadar kes baharu yang makin terkawal, malah kadar kematian berbanding kadar sembuh juga cumalah 1.7 peratus,” katanya.

Kedua, Muhyiddin berkata kerajaan sedang memfokus kepada usaha memastikan ketahanan ekonomi.

“Mengambil kira faktor luaran seperti perdagangan antarabangsa yang perlahan, ketidaktentuan dari sudut permintaan dan penawaran serta faktor dalaman seperti penurunan kadar perbelanjaan orang ramai susulan pelaksanaan PKP – kami memperkenalkan tiga Pakej Rangsangan Ekonomi bagi membantu menampung pendapatan rakyat semasa PKP serta melaksanakan langkah-langkah bersesuaian bertujuan memulakan semula ekonomi setelah sekatan ditarik balik,” katanya.

Beliau berkata hari ini (4 Mei), Malaysia telah melaksanakan pendekatan ketiga pelan itu yang menyaksikan negara memulakan semula ekonomi secara meluas namun tetap dalam keadaan terkawal dan teratur.

“Walaupun sebahagian besar sektor ekonomi telah dibuka semula hari ini, namun sektor serta aktiviti yang memerlukan rakyat berkumpul dan berhimpun masih tidak dibenarkan,” katanya.

Perdana Menteri turut menjelaskan bahawa ini merupakan cara Malaysia ke arah mengimbangi antara memulakan semula ekonomi dan kepentingan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) baharu bagi mencegah satu lagi gelombang jangkitan dalam kalangan rakyat.

Bagaimanapun, beliau berkata pembukaan semula sektor ekonomi negara tidak bermakna Perintah Kawalan Pergerakan telah berakhir kerana ia masih berkuat kuasa sehingga 12 Mei.

Seterusnya, Muhyiddin berkata ialah pelaksanaan strategi pemulihan ekonomi dalam menghadapi normal baharu diikuti revitalisasi ekonomi yang menyeluruh dan terakhir reformasi struktur ekonomi dalam menghadapi landskap global baharu selepas COVID-19.

“Kejayaan keenam-enam ‘R’ yang telah saya nyatakan hari ini iaitu resolve, resilience, restart, recovery, revitalize dan reform amat bergantung kepada kesungguhan dan tekad rakyat kita dalam menghadapi normal baharu,” katanya.

Muhyiddin berkata selepas ini, keadaan tidak akan sama seperti sebelum wabak Covid-19 menular namun kita mesti tetap perlu berusaha sedaya upaya untuk cuba mengembalikan negara kepada situasi yang jauh lebih baik berbanding apa yang sedang kita hadapi sekarang.

“Hidup mesti diteruskan namun pada masa yang sama kita mesti bersama-sama dan berganding bahu dalam mendapatkan ubat untuk merawat serta vaksin untuk mencegah wabak ini,” katanya.

Komen
Loading...