Ikuti Kami:

MSM tak jadi jual Ladang Chuping, F&N Group tinjau peluang lain

MSM tak jadi jual Ladang Chuping, F&N Group tinjau peluang lain

KUALA LUMPUR: Fraser & Neave Holdings Bhd (F&NHB) dan anak syarikat milik penuhnya, F&N AgriValley Sdn Bhd akan terus mencari dan menilai peluang lain bagi cadangan projek penternakan tenusu dan tanaman bersepadunya.

Ia susulan selepas MSM Malaysia Holdings Bhd menamatkan perjanjian penjualan tanah di Chuping, Perlis pada 9 April 2020.

“F&NHB dan F&N AgriValley telah memutuskan bahawa kumpulan akan mencari dan menilai peluang lain untuk cadangan projek penternakan tenusu dan tanaman bersepadu apabila terdapat peluang sedemikian,” katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Syarikat itu juga berkata, F&N AgriValley telah menerima pembayaran balik deposit di bawah perjanjian jual dan beli bersyarat (SPA) dengan anak syarikat milik penuh MSM Malaysia, MSM Perlis Sdn Bhd.

Pada 8 Oktober 2019, F&N AgriValley memeterai SPA dengan MSM Perlis untuk cadangan pembelian tanah pegangan pajakan seluas 4,453.92 hektar di Chuping dengan nilai RM156 juta.

Namun, pada 9 April, 2020, MSM Perlis memaklumkan kepada F&N AgriValley bahawa MSM Perlis tidak memberikan tempoh lanjutan untuk memenuhi syarat yang terdahulu di bawah SPA dan MSM Perlis kemudian membatalkan SPA.

Sebelum ini, F&NHB menjelaskan bahawa pembelian ladang Chuping adalah untuk meneroka penyumberan susu segar bagi menyokong pengeluaran produk hilirannya.

Model integrasi ladang Chuping akan membolehkannya mengurangkan kebergantungan kepada susu import dan dalam masa yang sama mempromosikan industri agrikultur tempatan.

Komen
Loading...