MPO Raikan Muzik Tradisional Dalam Konsert ‘Simfoni Budaya II’ di DFP
- oleh Mohd Indera
- 1 bulan lalu

Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) bakal sekali lagi meraikan keindahan muzik tradisional tempatan menerusi konsert bertemakan Simfoni Budaya II yang dijadual berlangsung pada Sabtu, 5 Julai 2025 jam 8.30 malam di Dewan Filharmonik PETRONAS (DFP), Kuala Lumpur City Centre (KLCC).
Konsert ini merupakan kesinambungan daripada kejayaan Simfoni Budaya I tahun lalu yang mempersembahkan irama keroncong dan ghazal dalam susunan orkestra, menampilkan artis tersohor seperti Dato’ Yusni Hamid, Asmidar dan Haziq Rosebi.
Sebelumnya, MPO turut mempersembahkan Keroncong Merdeka pada 2012, memperkukuh komitmennya terhadap penghayatan muzik tradisional.
Dikemudi oleh konduktor Ahmad Muriz Che Rose, Simfoni Budaya II menjanjikan pengalaman muzik yang memukau menerusi gabungan irama joget, asli dan zapin dengan sentuhan orkestra yang mempesona.
Penonton bakal disajikan karya-karya malar segar seperti Dikirim Jangan Dipesan Jangan, Mas Merah, Fatwa Pujangga, Nirmala, Tudung Periuk, Simfoni Bunga Tanjung, Joget Burung Merpati, Makan Sireh, Joget Wan Lebor, dan Mak Inang Kayangan, hasil gubahan komposer tempatan seperti Luqman Aziz, Ilham Subri, Azhad Sulaiman, Teuku Umar dan Shahakam Mokhtar.
Konsert ini menampilkan barisan artis dari generasi berbeza, termasuk biduan legenda Datuk Andre Goh yang terkenal sejak kemenangannya dalam pertandingan Bakat TV 1972. Ini merupakan kemunculan keduanya di pentas DFP selepas persembahan dalam konsert Malam Melayu Klasik pada 2013.
Turut menyerikan pentas ialah Hazra Dollah, pemenang Bintang Asli Remaja 2008 dan anggota kumpulan Alun Tradisi; Danial Chuer, pemenang Idola Kecil dan peserta program realiti seperti Big Stage dan Vokal Mania; Rojer Kajol, pemuzik ghazal berpengalaman dan penerima anugerah World Islamic Tourism & Trade Awards; serta Zehra Zambri, yang pernah mara ke pentas akhir Gegar Vaganza 11 dan Anugerah Juara Lagu.
Konsert ini diadakan di salah satu pentas muzik paling berprestij di negara ini dan dijangka menjadi pertembungan agung antara warisan seni budaya dan kemegahan persembahan orkestra.
Tiket berharga antara RM179 hingga RM329 untuk tempat duduk biasa, dan antara RM389 hingga RM449 untuk suite, boleh didapati di Box Office DFP. Untuk maklumat lanjut atau tempahan, hubungi 03-2331 7007 atau layari www.mpo.com.my.