Monosterio Lancar Single & Muzik Video Terbaharu Berjudul “Sang Lara”
- oleh Mohd Indera
- 1 bulan lalu
Kumpulan muzik Monosterio melancarkan single dan muzik video terbaharu mereka yang berjudul “Sang Lara” di bawah pengedaran Asia Empire Record.
Lagu ini merupakan hasil penjenamaan semula kumpulan Monosterio, yang terdiri daripada Izan sebagai vokalis, Aep pada drum, dan Alan di posisi gitar.
Monosterio, sebuah band berkonsepkan alternative art rock, telah memulakan perjalanan muzik baru sejak awal tahun 2023 dan kini bergerak secara bebas tanpa naungan mana-mana syarikat rakaman.
Dengan “Sang Lara” sebagai single kedua, Monosterio memperkenalkan konsep alternative pop yang lebih ringan, sesuai dengan cita rasa pendengar umum.
Lagu ini mengisahkan cinta dan pengorbanan dalam hubungan, di mana si lelaki akhirnya mencipta lagu sebagai tanda kenangan kisah cinta mereka yang penuh emosi.
Karya lagu “Sang Lara” dicipta sepenuhnya oleh Monosterio, dengan lirik hasil tulisan Alan dan Izan. Semua proses rakaman, mixing, dan mastering dilakukan oleh Aep, pemain drum, di Studio Asia Empire Record.
Muzik video rasmi yang diarahkan sendiri oleh Aep juga menampilkan seorang model bernama Lara sebagai watak utama, dengan lokasi yang menambah kedalaman kepada jalan cerita.
Uniknya, anggota kumpulan Monosterio tidak muncul dalam muzik video ini, bertujuan memberikan ruang kepada penonton untuk merasai maksud mendalam di sebalik lagu tersebut.
“Sang Lara” merupakan susulan kepada single pertama Monosterio yang berjudul “Monofonik,” yang memperkenalkan identiti kumpulan sebagai band alternative art rock dengan gaya muzik yang lebih energik.
Lagu terbaru ini bagaimanapun mengutamakan lirik yang lebih mudah difahami, menampilkan perjalanan kisah percintaan yang akhirnya menuntut pengorbanan.
Selain single ini, Monosterio turut dalam proses menyiapkan album penuh mereka yang kini dalam fasa mixing dan mastering.
Dijadualkan untuk dilancarkan pada tahun 2025, album tersebut bakal hadir dalam bentuk cakera padat bersama barangan eksklusif seperti kemeja T, stiker, dan poster.
Monosterio berharap agar “Sang Lara” mendapat tempat di hati pendengar dan terus memeriahkan industri muzik tempatan.
Muzik video “Sang Lara” akan dilancarkan di YouTube pada hari Isnin, 11 November melalui pautan berikut: https://www.youtube.com/watch?v=tW7MZlJhTeE.