Miya Aulia Pertaruh Lagu Sarat Emosi Ciptaan Sendiri “Sunyi”
- oleh MDaily Editor
- 20 Feb 2026 2:35 pm
Penyanyi remaja berbakat besar, Miya Aulia, 16, tampil mempertaruhkan single terbaharu berjudul Sunyi, sebuah karya balada sarat emosi yang mengangkat isu sensitif mengenai hubungan kekeluargaan.
Miya atau nama penuhnya Nurhani Damiya, menyifatkan Sunyi sebagai antara karya paling dekat dengan jiwanya memandangkan beliau turut terlibat dalam penulisan lirik bersama komposer, Jasni Ramli.
Lagu tersebut mengisahkan perjuangan seorang anak yang sentiasa berusaha berbakti kepada keluarga, namun segala pengorbanannya sering dipandang remeh dan tidak dihargai.
“Kadang-kadang kita berasa sunyi walaupun dikelilingi ahli keluarga sendiri. Lagu ini menceritakan perasaan apabila usaha kita tidak disedari dan tidak dihargai oleh insan tersayang,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Meskipun dikenali sebagai penyanyi versatil yang mampu menguasai genre tradisional dan dangdut, Miya melihat pemilihan genre balada kali ini sebagai langkah berani untuk membina identiti sebagai artis yang fleksibel.
Berkongsi pengalaman rakaman, remaja berasal dari Negeri Sembilan ini mengakui proses di studio jauh lebih mencabar berbanding persembahan di pentas.
“Di studio, setiap sebutan bahasa baku, tempo dan penghayatan emosi perlu diberi perhatian teliti. Jika dangdut menuntut penguasaan cengkok, balada pula lebih menekankan penghayatan lirik yang mendalam,” jelasnya yang mula aktif menyanyi sejak usia lapan tahun.
Walaupun sibuk mengukuhkan nama dalam industri seni, pelajar sekolah menengah ini tetap mengutamakan pelajaran. Segala urusan kerjaya dan pembelajarannya diuruskan sepenuhnya oleh ibunya bagi memastikan kedua-dua bidang itu berjalan seiring.
Miya turut menitipkan pesanan buat rakan seusia agar tidak mudah berputus asa dalam mengejar cita-cita.
“Teruskan berusaha dan jangan takut tonjolkan bakat. Paling penting, sentiasa hormati ibu bapa dan guru,” tambahnya lagi.
Single Sunyi kini boleh mula didengari di semua platform penstriman digital bermula hari ini.




