Pempengaruh media sosial popular dan pelakon berbakat, Alvynna Joanna Joseph, atau lebih dikenali sebagai MissAlvy, kini melangkah ke dunia nyanyian dengan pelancaran single sulungnya, “Terpikat”.
Lagu ini terinspirasi daripada pengalaman peribadinya merasai perasaan suka secara diam-diam atau “crush”, dan diterbitkan oleh Rocketfuel Entertainment.
“Lagu ini lahir daripada perasaan yang ramai boleh kaitkan – menyukai seseorang tetapi takut untuk meluahkannya,” kata MissAlvy, yang turut dikenali menerusi watak Siew May dalam drama bersiri hit
“Kelas Tahanan Cikgu Hiragi”. “Terpikat menggambarkan keterujaan yang dirasai apabila melihat seseorang yang membuat kita gembira walaupun dari jauh,” tambahnya lagi.
Single bergenre pop dengan elemen EDM ini menonjolkan sisi ceria dan ‘playful’ MissAlvy, sesuai dengan pasaran pendengar muda.
Proses penghasilan lagu ini memakan masa hampir setahun, di mana MissAlvy turut terlibat secara aktif dalam konsep dan produksi lagu.
“Walaupun lama, hasilnya benar-benar seperti yang saya bayangkan. Saya puas hati!” katanya.
Ketua Rocketfuel Entertainment, Cik Sher Leen Wee, turut memuji bakat semula jadi MissAlvy.
“Dia memiliki suara yang unik dan berpotensi besar untuk menjadi bintang industri muzik tanah air. Terpikat adalah platform terbaik untuk memperkenalkan dirinya sebagai penyanyi,” katanya.
MissAlvy yang sebelum ini berjaya sebagai pempengaruh dan pelakon kini ingin memberi fokus kepada bidang muzik.
“Saya berharap lagu ini dapat menyentuh hati pendengar dan memberi inspirasi kepada mereka yang pernah mengalami perasaan ‘crush’. Semoga mereka turut terpikat dengan karya saya,” katanya penuh semangat.
“Terpikat” kini boleh didengarkan di platform penstriman seperti Spotify, Apple Music, KKBox, dan YouTube Music. Sementara itu, video muzik rasmi lagu ini boleh ditonton secara eksklusif di saluran YouTube Rocketfuel Network.