Ikuti Kami:

Marsha Milan Dinobatkan Sebagai Juara Anugerah Juara Lagu 39!

Marsha Milan Dinobatkan Sebagai Juara Anugerah Juara Lagu 39!

Malam penuh gemilang Anugerah Juara Lagu 39 (AJL39) akhirnya melabuhkan tirainya dengan kejutan dan kemeriahan yang luar biasa! Pentas berprestij ini sekali lagi membuktikan bahawa industri muzik tanah air terus berkembang dengan karya-karya hebat yang menjadi bualan ramai.

Kejayaan manis menjadi milik Marsha Milan, yang dinobatkan sebagai Juara AJL39 menerusi lagu “Hening Rindu”. Lagu ciptaan Ikhwan Fatnna & Wan Saleh, dengan lirik oleh Ikhwan Fatanna, berjaya menawan hati barisan juri dan membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000 berserta trofi berprestij.

Persembahan penuh emosi Marsha yang menghayati setiap bait liriknya benar-benar menyentuh jiwa penonton dan melayakkannya untuk gelaran juara pada malam yang bersejarah ini.

Tidak ketinggalan, tempat kedua dimenangi oleh Nadeera Zaini dengan lagu “Bukan Lagi Kita”, yang berjaya memikat hati juri dengan persembahan mantapnya.

Beliau membawa pulang RM50,000 berserta trofi. Tempat ketiga pula menjadi milik Akim & The Majistret dengan lagu “Saksama”, membawa pulang RM30,000 berserta trofi.

Malam penuh debaran ini turut menyaksikan kemenangan dalam kategori lain. Anugerah Vokal Terbaik jatuh kepada Ernie Zakri menerusi lagu “Aura”, yang mempamerkan kawalan vokal yang mantap dan penuh perasaan, sekali gus melayakkannya membawa pulang RM12,000 berserta trofi.

Sementara itu, Persembahan Terbaik diberikan kepada Aina Abdul menerusi lagu “Puas Sudah”, dengan persembahan yang dramatik dan penuh kreativiti, membawa pulang RM12,000 berserta trofi.

AJL39 bukan sekadar sebuah pertandingan, tetapi sebuah perayaan seni yang menampilkan pelbagai persembahan hebat.

Malam tersebut dimeriahkan dengan persembahan pembukaan dari Wany Kayrie, Ara Johari, Shiha Zikir & Noki, yang menghangatkan suasana.

Detik yang paling dinanti-nantikan ialah kemunculan istimewa Dato’ M. Nasir, yang membawakan lagu runut bunyi dari filem Ejen Ali The Movie 2, bertajuk “Hanya Kamu”.

Gandingan hos Naz Rahman dan Sissy Iman juga berjaya mencipta keserasian yang sempurna, menjadikan malam tersebut lebih meriah dengan gaya penyampaian mereka yang santai dan berinformasi.

Dengan tema NADA RASA, AJL39 sekali lagi membuktikan bahawa muzik bukan sekadar hiburan, tetapi medium yang mampu menyampaikan emosi dan cerita yang mendalam.

Kejayaan Marsha Milan pada malam ini pasti menjadi inspirasi kepada ramai bakat muda untuk terus berkarya dan mewarnai industri muzik tanah air.

Tahniah kepada semua pemenang dan terima kasih kepada semua yang menjayakan AJL39! Nantikan AJL40 tahun hadapan dengan lebih banyak kejutan dan karya hebat!

Komen
Loading...