Margasatwa Lancar Album SERIBUDAYA Sempena Konsert GEMPITA ALAM SERIBUDAYA
- oleh Mohd Indera
- 2 minggu lalu
Kumpulan muzik tempatan Margasatwa mempersembahkan album terbaharu mereka, SERIBUDAYA, dalam sebuah konsert eksklusif bertajuk GEMPITA ALAM SERIBUDAYA di RGB Studio, Shah Alam.
Konsert ini bukan sahaja meraikan pelancaran album, tetapi juga menjadi medan untuk Margasatwa mendekati peminat dengan persembahan penuh energi dan elemen seni yang unik.
GEMPITA ALAM SERIBUDAYA dirancang sebagai sebuah pengalaman muzik yang memadukan tradisi dan kontemporari.
Ahli kumpulan Margasatwa terdiri daripada Kimal (vokal, piano, saxophone), Fadhil (gitar utama), Shadiq (bass), Syahir (dram), dan Sammy (gitar kedua), masing-masing membawa kepakaran tersendiri dalam mencorakkan identiti muzik kumpulan ini.
Konsert ini menjadi peluang untuk Margasatwa memperkenalkan karya baharu mereka secara langsung.
“Kami ingin peminat bukan sahaja mendengar, tetapi turut merasai dan merayakan perjalanan seni kami melalui konsert ini. Ia adalah medan bergempita bersama!” kata Kimal, vokalis utama Margasatwa.
Dirakam selama hampir lima tahun, SERIBUDAYA menghidupkan elemen tradisional dengan sentuhan moden, menjadikannya karya yang unik dalam dunia muzik Malaysia.
Album ini melibatkan rakaman di studio ternama seperti Makmal Kampung Batu dan Studio Tongkat Sakti, di samping pengadunan oleh penerbit terkenal seperti Rahmad Kamikaze dan Rozhan.
Menurut Loque, penerbit album, SERIBUDAYA adalah simbol perjalanan seni Margasatwa. “Album ini memadukan tradisi dan elemen moden. Mereka bukan hanya berkarya, tetapi juga membawa mesej seni yang mendalam,” ujarnya.
Dengan pelancaran album ini, Margasatwa berharap dapat terus mengukuhkan kedudukan mereka sebagai antara kumpulan muzik tempatan yang membawa nafas baharu dalam seni muzik Malaysia.
Konsert ini menjadi langkah permulaan untuk mereka mendekati peminat sambil meraikan keberagaman budaya dan seni.
Tiket berharga RM80, RM89, dan RM199 telah dijual melalui Ticket2U.