Ikuti Kami:

Malaysia Hampir Berjaya Putuskan Rantaian COVID-19

Malaysia Hampir Berjaya Putuskan Rantaian COVID-19

Malaysia optimis dapat memutuskan rantaian jangkitan wabak COVID-19 dalam sedikit masa lagi susulan hasil keupayaan tinggi dalam mengesan penularan wabak tersebut serta tindakan program kesihatan yang mantap.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata keupayaan pengesanan COVID-19 Malaysia kini berada pada kadar hampir 30,000 ujian Polymerase Chain Reaction (PCR) sehari.

“Selain itu, Malaysia mempunyai 200,000 antigen rapid test kit dan hanya kurang 5,000 digunakan setakat ini,” katanya pada sidang media harian COVID-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), di sini, hari ini.

Beliau berkata pada masa ini, hampir 95 peratus ujian COVID-19 dijalankan adalah negatif.

Selain itu, katanya, penggunaan katil COVID-19 di hospital sudah kurang iaitu pada kadar 15 peratus.

“Sekarang hanya sembilan pesakit COVID-19 yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital dengan hanya dua memerlukan bantuan pernafasan.

“Ini berbanding pada satu masa angka itu pernah mencecah lebih 100 pesakit,” tambah beliau.

Menurutnya, berdasarkan trend terkini beliau optimis Malaysia dapat memutuskan rantaian penularan wabak itu dalam sedikit masa lagi.

 

Komen
Loading...