M Nasir Kenang Allahyarham S Atan: ‘Raja Lagu-Lagu Pop’ yang Tiada Tandingan
- oleh Mohd Indera
- 3 minggu lalu
Datuk M Nasir, menganggap pemergian Allahyarham S Atan sebagai satu kehilangan besar buat industri seni tanah air.
Menurut M Nasir, komposer legenda itu wajar diangkat sebagai Raja Lagu-Lagu Pop kerana sumbangan dan pengaruh besarnya dalam muzik Melayu.
“Allahyarham S Atan adalah seorang komposer prolifik dengan banyak karya berkualiti. Pengaruhnya dalam dunia pop Melayu sangat besar. Sepuluh tahun sekali pun sukar untuk kita jumpa individu yang mempunyai bakat luar biasa seperti beliau,” ujar M Nasir ketika ditemui di pekarangan Masjid Jamek Kajang semalam.
Memetik Berita Harian, beliau turut mengenang kegemilangan Allahyarham S Atan pada era 1970-an, di mana nama arwah berada di puncak populariti.
“Pada zaman itu, arwah adalah nama besar. Selepas 1980-an, komposer lain mula muncul, tetapi dalam tempoh 10 tahun sebelumnya, S Atan memang layak digelar Raja Pop, khususnya dalam penciptaan lagu-lagu pop,” tambahnya.
M Nasir turut berkongsi kenangan manis bersama Allahyarham, termasuk ketika mereka menjayakan persembahan di Manchester, England, pada tahun 1997.
“Arwah menjadi pemuzik pengiring untuk saya ketika di Manchester. Itu antara tempoh paling lama kami bekerja bersama. Selain itu, arwah juga pernah menjadi tetamu saya dalam sebuah dokumentari, di mana kami berbincang tentang perkembangan dan cabaran industri seni,” katanya.
Bagi M Nasir, setiap pertemuan dengan Allahyarham menjadi ruang untuk mereka meluahkan pandangan tentang industri muzik.
“Setiap kali berjumpa, kami sering berbincang tentang kekecewaan terhadap perkembangan industri. Arwah memang seorang yang sangat berwawasan dan memahami cabaran muzik tempatan,” jelasnya.
Pemergian Allahyarham S Atan bukan sahaja meninggalkan kesan mendalam kepada rakan-rakan seperjuangan, tetapi juga kepada peminat muzik tanah air yang menghargai karya-karya agungnya.