
Dunia muzik Malaysia menerima kemunculan kumpulan boygroup M-pop, Lucky Nerds, gabungan bakat dan kreativiti, kumpulan ini memperkenalkan single debut mereka, “Lucky Nerds (Anthem)”, sebuah karya yang menyampaikan mesej keyakinan diri serta menonjolkan identiti unik mereka.
Lucky Nerds terdiri daripada empat anak muda berbakat: M.O., Faiz, E.J., dan Ajim.
M.O. selaku ketua kumpulan, menjelaskan bahawa nama Lucky Nerds melambangkan keunikan dan dedikasi mereka.
“Kami memang ‘nerds’ – bukan sekadar ulat buku, tetapi individu yang mendalami minat dengan sepenuh hati. Saya sudah sembilan tahun mencipta muzik manakala Faiz mahir dalam tarian moden kontemporari, Ajim berbakat dalam tarian tradisional, dan E.J. pakar dalam muzik rock. ‘Lucky’ adalah doa kami untuk berjaya,” katanya.
Penubuhan kumpulan ini bermula daripada usaha gigih M.O. untuk merekrut ahli kumpulan dengan strategi tersendiri, meskipun menghadapi pelbagai cabaran.
Kini, mereka bersatu membawa gelombang baharu dalam industri muzik.
Single “Lucky Nerds (Anthem)” adalah karya ciptaan M.O. sendiri, yang menggabungkan genre pop, trap, dan boombap.
Kumpulan ini bercita-cita untuk menghasilkan mini album dengan pelbagai genre seperti R&B, pop, balada, dan rock.
“Kami mahu mencipta identiti muzik yang unik dan tidak terikat pada satu genre.” kata M.O.
Menurut E.J, Walaupun perjalanan menuju debut penuh cabaran, termasuk perubahan koreografi dan isu teknikal, mereka berjaya mengatasinya dengan semangat positif.
“Setiap cabaran yang kami hadapi menguatkan lagi kami sebagai kumpulan.” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif ACE Talents, Mdm. Azuein Alonto, menyatakan keyakinannya terhadap potensi besar Lucky Nerds.
“Mereka membawa keunikan dan bakat yang mampu mencipta impak besar di peringkat tempatan dan antarabangsa,” katanya.
Dengan aspirasi mengembalikan kegemilangan boygroup tempatan seperti KRU dan Ruffedge, Lucky Nerds bertekad untuk mencipta nama di industri muzik.
Lagu “Lucky Nerds (Anthem)” kini tersedia di pelbagai platform penstriman, manakala video muzik rasmi boleh ditonton di saluran YouTube ACE Talents.