Lima Hari Lagi: 70% Tiket Akon The Superfan Tour di Kuala Lumpur & Singapura Terjual
- oleh Mohd Indera
- 4 minggu lalu
Hanya lima hari menjelang persembahan Akon The Superfan Tour Live di Kuala Lumpur dan Singapura, 70% tiket bagi kedua-dua lokasi telah habis terjual.
Akon dijangka mengadakan persembahan di Mega Star Arena Kuala Lumpur pada 19 November 2024, diikuti dengan konsert di Arena @ Expo Hall 7 Singapura pada 20 November 2024.
Bagi peminat yang masih ingin mendapatkan tiket, penjualan masih dibuka di www.ticket2u.com untuk konsert di Malaysia dan di www.sistic.com.sg untuk Singapura.
Harris Baba, Pengarah Urusan Jeeharris Entertainment, menyatakan kegembiraannya atas sambutan luar biasa dari peminat penyanyi antarabangsa tersebut.
“Saya amat teruja dengan jualan tiket yang memberangsangkan ini. Persiapan telah dibuat dengan rapi, dan kini kami hanya menantikan kehadiran Akon untuk menggamatkan Kuala Lumpur dan Singapura,” kata Harris.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Astro Radio yang menyokong konsert ini melalui saluran Era, Hits, Sinar, Mix, dan Raaga sebagai rakan media rasmi.
Di Malaysia, Jeeharris Entertainment mendapat sokongan tambahan daripada Munchie’s dan EL Car Rental. Munchie’s, jenama makanan segera tempatan, bertindak sebagai penyedia makanan rasmi konsert di Kuala Lumpur.
Mereka akan menyajikan pilihan hidangan seperti burger smashed daging lembu segar, ayam goreng, dan Burger GCB untuk para pengunjung.
Munchie’s juga akan membuka beberapa cawangan di Kuala Lumpur dan Selangor tidak lama lagi, dan berharap dapat menginspirasi para penggemar makanan dan usahawan tempatan.
El Car Rental pula, sebagai penaja kenderaan rasmi, akan menyediakan pengangkutan mewah bagi Akon dan pasukannya sepanjang konsert di Kuala Lumpur.
Sebagai penyedia perkhidmatan penyewaan kereta mewah dengan pengalaman lima tahun dalam industri, El Car Rental telah bekerjasama dengan lebih 500 syarikat serta menyediakan perkhidmatan untuk keluarga diraja dan selebriti.