Ikuti Kami:

KRU Lancar MV Voodoo: Gabungan Nostalgia dan Teknologi AI

KRU Lancar MV Voodoo: Gabungan Nostalgia dan Teknologi AI

Trio 3 Beradik, KRU terus mencipta sejarah dengan pelancaran video muzik (MV) single terbaharu mereka, Voodoo, dari album Kaset.

Selepas enam tahun menyepi, kemunculan semula ini menggabungkan sentuhan nostalgia bersama inovasi teknologi, menjadikannya buah tangan istimewa buat peminat setia.

Lagu Voodoo, yang bergenre Pop Dance, Hip Hop, dan R&B, mengekalkan DNA muzik asal KRU sambil mempamerkan kematangan dari segi vokal dan kreativiti dalam penciptaan lagu.

Dicipta oleh Norman, Yusry, dan Edry, lagu ini menggambarkan kisah seorang lelaki yang terpikat dengan keunikan wanita luar biasa, dengan elemen tarikan dan kekeliruan emosinya diterjemahkan secara mendalam melalui lirik dan muzik.

MV Voodoo juga membawa elemen unik, mempersembahkan “prekuel” fiksyen mengenai perjalanan awal KRU pada era 90-an, sebelum mereka melancarkan album pertama pada tahun 1992.

Menariknya, MV ini menampilkan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk menghasilkan kembar digital (Digital Twin) ketiga-tiga anggota KRU. Ini menjadikan KRU artis tempatan pertama yang memanfaatkan teknologi ini, sekali gus membuktikan mereka kekal sebagai perintis dalam inovasi muzik dan hiburan.

“Voodoo adalah langkah baharu buat KRU, bukan sahaja sebagai lagu selepas sekian lama, tetapi juga dalam memperkenalkan era baharu produksi muzik menggunakan teknologi AI.

“Kami berharap lagu ini diterima baik dan menjadi dorongan untuk peminat menyertai kami dalam konsert Kaset tahun hadapan,” ujar KRU.

Lagu Voodoo kini boleh dinikmati di platform penstriman digital seperti Spotify, Apple Music, Deezer, dan KKBox.

Video muziknya pula akan tersedia di saluran YouTube rasmi KRU, KRUbros, dalam masa terdekat. Untuk perkembangan terkini, ikuti akaun rasmi KRU di Facebook, Instagram, TikTok, dan YouTube.

Komen
Loading...