Ikuti Kami:

Korea Selatan Mula Izin Solat Jumaat, Tarawih Di Masjid

Korea Selatan Mula Izin Solat Jumaat, Tarawih Di Masjid

SEOUL –- Umat Islam di Korea Selatan dibenar tunaikan solat fardu secara berjemaah di masjid termasuk solat Jumaat dan sunat tarawih dengan langkah agak ketat bagi bendung Covid-19.

Keputusan yang tidak dijangka itu dimaklumkan oleh Persekutuan Muslim Korea (KMF) kepada akhbar ternama Arab News ekoran penurunan kes positif baharu wabak tersebut akhir-akhir ini.

Ia susulan tindakan sama diumumkan oleh Majlis Gereja Kebangsaan Korea mengizinkan jutaan penganut Kristian di negara itu melakukan ibadah ritual mingguan di gereja mulai Ahad lepas.

“Kami masih lagi prihatin dengan isu penularan Covid-19 dan buat permulaan selama 10 hari ini, jemaah hanya dibolehkan solat di luar masjid,” kata Ketua Imam KMF, A. Rhaman Lee Jun-hwa.

Bagaimanapun, keputusan itu diubah pihak KMF semalam dengan letak syarat setiap jemaah mesti pakai pelitup muka, cuci tangan dengan cecair basmi kuman dan berdiri jarak satu meter.

Mereka yang hadir untuk solat juga wajib menulis nama di buku pendaftaran bagi membolehkan pihak masjid dapat mengesan jemaah tersebut jika timbul kes jangkitan Covid-19 di kariah itu.

Kerajaan Korea Selatan mula melarang segala aktiviti keagamaan secara berjemaah di premis ibadah lebih dua bulan lalu sejak kes pertama wabak tersebut direkodkan pada 20 Januari lalu.

“Sekiranya keadaan baik berterusan, kemungkinan besar Muslim di seluruh Korea Selatan boleh merayakan Aidilfitri dengan solat sunat hari raya di masjid,” jelas A. Rhaman kepada Arab News.

Dianggarkan ada hampir 200,000 orang Islam di negara itu atau 0.4 peratus daripada lebih 50 juta rakyat Korea Selatan, dengan sekitar 40 peratus daripada mereka tinggal di ibu kota Seoul.

Negara maju itu ketika ini mempunyai 15 buah masjid serta lebih 60 buah surau, kebanyakannya dibina imigran Muslim dan sumbangan beberapa kerajaan negara Islam termasuk dari Malaysia.

Setakat ini, Pusat Kawalan Penyakit di negara rantau Asia Timur itu melaporkan jumlah kumulatif 10,806 penghidap Covid-19 termasuk 255 kematian dan 9,333 pesakit berjaya sembuh kembali.

Komen
Loading...