Konsert Istimewa Atilia & Salamiah: “Gelombang Bahagiaku” Tampilkan Duet Pertama & Kisah Cinta Abadi
- oleh Mohd Indera
- 1 bulan lalu

Buat pertama kalinya dalam sejarah seni suara tanah air, penyanyi jazz terkenal Atilia Haron bakal berkongsi pentas dengan ibunya yang juga legenda muzik tanah air, Salamiah Hassan, menerusi sebuah konsert istimewa bertajuk “Gelombang Bahagiaku” pada 16 Ogos ini.
Konsert anjuran Mujik Wand Production itu akan berlangsung di Plenary Theatre, Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) pada jam 8.30 malam dan dijangka menjadi malam yang sarat dengan emosi serta kenangan yang tidak akan dilupakan.
Lebih daripada sekadar persembahan muzik, Gelombang Bahagiaku membawa makna mendalam bagi Atilia yang menyifatkan konsert itu sebagai penghormatan buat ibunya serta satu impian yang menjadi kenyataan.
“Sejak kecil saya teringin menjadi seperti ibu saya. Kini dapat berkongsi pentas yang hebat bersamanya saya rasa seperti gadis paling bertuah di dunia,” katanya dalam sidang media yang diadakan di ibu negara hari ini.
Bagi Salamiah yang kini meraikan 55 tahun penglibatan dalam industri muzik, konsert ini membuka lembaran baharu dalam kerjayanya kerana buat pertama kali beliau tampil bersama anak perempuannya dalam sebuah persembahan berskala besar.
“Saya teruja dengan projek ini. Walaupun cara nyanyian kami berbeza saya percaya ia akan menjadi satu gabungan yang istimewa. Ia bukan sekadar konsert tetapi lambang kasih sayang dan penghargaan,” kata Salamiah.
Antara detik paling dinantikan ialah persembahan duet sulung mereka berjudul “Age Is Just A Number” sebuah lagu baharu yang mengangkat tema kematangan keyakinan diri dan keberanian untuk terus hidup dengan semangat tanpa mengira usia.
“Lagu ini adalah refleksi kami berdua, dua wanita yang berdikari menyayangi muzik dan hidup dengan penuh semangat. Saya berharap ia dapat menyentuh hati mereka yang mendengarnya,” ujar Atilia.
Walaupun berdepan pelbagai cabaran dalam menjayakan projek ini, pasangan ibu dan anak itu tetap cekal meneruskan usaha mereka bermula dengan inisiatif sendiri serta bantuan sahabat-sahabat yang percaya pada nilai projek ini.
“Konsert ini perlu dilaksanakan. Kami lakukan apa yang termampu dengan sokongan orang-orang terdekat. Syukur ada yang percaya dan sudi membantu menjayakannya,” katanya.
Tiket konsert telah mula dijual bermula hari ini melalui laman web https://ticket2u.com.my/event/43440 dengan harga dalam lingkungan RM150 hingga RM350.