Konsert Hologram Glenn Fredly Rai Cinta, Warisan & Kehidupan di Zepp KL
- oleh Mohd Indera
- 1 minggu lalu

Sebuah malam penuh makna bakal tercipta pada 18 Julai ini apabila legenda muzik Indonesia, Glenn Fredly, ‘kembali ke pentas’ melalui teknologi hologram dalam konsert Glenn Fredly Holographic Performance: Live in Malaysia di Zepp Kuala Lumpur.
Konsert istimewa ini bukan sekadar pertunjukan hiburan, tetapi sebuah penghormatan mendalam terhadap cinta, warisan, dan kehidupan yang pernah dibawa oleh Glenn sepanjang kerjayanya.
Menerusi penganjuran oleh Premier Live Productions dan kerjasama Matahari Sdn Bhd, acara ini mengangkat muzik sebagai jambatan antara kenangan dan harapan.
“Ini bukan hanya persembahan biasa. Ia adalah ruang untuk kita merenung, mengingati, dan merayakan nilai-nilai kemanusiaan yang Glenn perjuangkan – cinta, kedamaian dan keberagaman,” kata Ibram Putra, wakil penganjur konsert berkenaan.
Konsert ini akan membawa peminat menyusuri karya-karya Glenn yang pernah menjadi lagu latar kehidupan ramai — antaranya “Kasih Putih,” “Januari,” “Sedih Tak Berujung,” “Terserah” dan “Akhir Cerita Cinta.”
Dengan bait lirik yang menyentuh dan melodi yang abadi, muzik Glenn Fredly terus hidup meski jasadnya telah tiada.
Yang menjadikan malam ini lebih istimewa ialah penggunaan teknologi hologram yang akan menampilkan sosok Glenn Fredly ‘secara langsung’ di atas pentas.
Ini merupakan kali pertama teknologi seumpama ini digunakan dalam konsert di Malaysia, menjadikannya sebuah acara bersejarah dalam dunia muzik serantau.
Selain persembahan hologram Glenn, konsert ini turut menampilkan isteri beliau, Mutia Ayu, penyanyi terkenal Ryan D’Masiv, serta artis Malaysia seperti Noh Salleh dan Nadira Adnan.
Mereka akan bergabung dengan The Bakuucakar — band pengiring asal Glenn — bagi menyampaikan penghormatan tulus yang merangkul emosi dan nostalgia.
“Ini adalah masa yang ditunggu-tunggu oleh peminat Glenn Fredly di Malaysia. Mereka akhirnya berpeluang merasai keajaiban karya Glenn secara langsung, walaupun melalui medium teknologi,” ujar Anuar Osman dari Matahari Sdn Bhd.
Tiket konsert boleh didapati bermula pada harga RM188 menerusi laman web www.ticket2u.com. Maklumat lanjut boleh diikuti menerusi Instagram @premierlivepro, @bumientertainment, @musikbagusrecords dan @glennfredlymusik.