Kes Khalwat Aliff Aziz dan Ruhainies Ditangguh ke Tahun Hadapan
- oleh Mohd Indera
- 3 minggu lalu
Kes khalwat melibatkan aktor kontroversi Aliff Aziz dan pelakon sensasi Ruhainies kini ditangguhkan selepas Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan menetapkan perbicaraan baru pada 20 dan 27 Februari tahun hadapan.
Keputusan itu dibuat oleh Hakim Syarie, Abu Suffian Abu Yaziz dalam prosiding pada Khamis.
Dalam perkembangan terkini, mahkamah memutuskan bahawa tempoh jaminan bagi kedua-dua tertuduh akan dilanjutkan sehingga tarikh perbicaraan.
Aliff Aziz juga dibenarkan untuk menggantikan penjamin baharunya selepas penjamin asal, Muhammad Nur Aiman Zainul Ilyas, menarik diri. Furqan Abdul Rahim kini menjadi penjamin baharu bagi pihak Aliff.
Ruhainies, yang turut mengenakan pelitup muka, hanya memohon agar orang ramai mendoakan segala urusannya pada hari ini berjalan lancar.
“Doakan yang baik-baik,” katanya ringkas.
Sementara itu, Aliff Aziz, 33, memilih untuk tidak memberikan sebarang komen kepada media mengenai prosiding tersebut.
“Alhamdulillah,” ujarnya pendek.
Aliff dan Ruhainies diwakili oleh peguam Hadi Salleh dan Amirul Ashraf Ghani. Pada awal Julai lalu, kedua-dua selebriti ini mengaku tidak bersalah di hadapan hakim atas tuduhan khalwat yang berlaku di sebuah kondominium di ibu negara pada 8 Mac lalu.
Sebelum ini, pada 20 Jun, mereka dibebaskan dengan jaminan mahkamah sebanyak RM1,500 setiap seorang. Kes ini menarik perhatian ramai apabila nama Ruhainies menjadi bualan hangat selepas penahanan mereka oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) sehari selepas kejadian tersebut.
Kes ini juga menyebabkan perkahwinan Aliff dengan bekas isterinya, Bella, berakhir apabila mereka bercerai talak satu pada 13 Jun lalu, hanya beberapa bulan selepas kejadian khalwat itu berlaku.