Kes Da’i Syed: Mahkamah Tinggi Tetap 5 November Sebagai Tarikh Sebutan Semula
- oleh Mohd Indera
- 3 minggu lalu
Mahkamah Tinggi Shah Alam menetapkan 5 November sebagai tarikh sebutan semula pengurusan kes pendakwah bebas, Da’i Syed atas dakwaan merogol seorang wanita lima tahun lalu.
Menurut peguam yang mewakili Syed iaitu Datuk Abu Bakar Isa Ramat, tarikh itu ditetapkan semasa sesi pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, pagi Selasa.
Hari ini mahkamah sudah tetapkan 5 November untuk tarikh pengurusan kes sementara menunggu alasan penghakiman daripada mahkamah sesyen.
Pada Jumaat lepas, kami sudah mendapat satu penangguhan pelaksanaan terhadap keputusan mahkamah sesyen. Jadi, mahkamah tinggi membenarkan anak guam saya dilepaskan dengan jaminan sementara menunggu pelupusan kes rayuan.
Katanya, prosedur dibebaskan dengan jaminan adalah perkara biasa dan akan dilakukan oleh pihak peguam yang mewakili anak guamnya.
Tambah Abu, itu merupakan satu prosedur biasa sebab mahkamah sesyen sudah jatuhkan hukuman dan pihak peguam boleh memohon mendapatkan penangguhan pelaksanaan.
Namun, mahkamah sesyen tidak membenarkan dan memutuskan anak guam saya dihantar ke penjara. Kemudian pada 18 September lalu, peguam dari firma guaman saya memfailkan penangguhan.
Pada 20 September lalu, hakim memberikan kelulusan untuk penangguhan pelaksanaan dan anak guam saya dilepaskan dengan jaminan.
Terdahulu, selepas 21 hari berada dalam penjara menjalani hukuman atas pertuduhan merogol seorang wanita, Syed dilepaskan sementara oleh Mahkamah Tinggi di sini pada 20 September lalu.
Hakim Datuk Aslam Zainuddin membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan peguam Mohamed Baharudeen Mohamed Ariff yang mewakili Da’i Syed selaku pemohon untuk menggantung pelaksanaan hukuman sehingga rayuannya di didengar dan diputuskan di Mahkamah Tinggi.
Pada 30 Ogos lalu, Syed sebagai tertuduh ketika itu, dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen selepas didapati bersalah pertuduhan merogol seorang wanita di sebuah kondominium, lima tahun lalu.