JoBranko Sedia Berjumpa Awie – “Konsert Dan Silaturahim Tak Ada Kena Mengena”
- oleh Mohd Indera
- 1 bulan lalu
Pemain gitar kumpulan Barbarik, JoBranko atau nama sebenarnya Abdul Zamin Abdul, menyatakan kesediaannya untuk bertemu semula dengan penyanyi Datuk Awie bagi menyelesaikan isu lama antara mereka, namun menegaskan bahawa bukan melalui tawaran konsert kerana silaturahim dan tawaran konsert tidak ada kena-mengena antara satu sama lain.
Menurut JoBranko, pertemuan tersebut perlu dilakukan dengan ikhlas tanpa sebarang kepentingan komersial.
“Jika nak bersilaturahim, 5 minit buat panggilan telefon boleh selesai, bukan melalui tawaran komersial seperti konsert,” katanya.
JoBranko turut menegaskan beliau terbuka untuk bersemuka dengan sesiapa sahaja, termasuk Awie, asalkan pertemuan itu didorong oleh niat yang tulus.
“Awie boleh saja menghantar mesej melalui WhatsApp atau menghubungi saya jika benar-benar ikhlas, tetapi membuat kenyataan melalui media dan mempertikaikan harga kumpulan Barbarik bukanlah cara yang profesional,” ujarnya.
Kenyataan ini dibuat selepas Awie menyatakan penolakannya terhadap tawaran untuk menyertai acara Rock Warrior Music Festival (RWMF) pada 23 dan 24 November akan datang, kerana berpendapat harga yang ditetapkan JoBranko terlalu tinggi berbanding kumpulan lain.
Bagi JoBranko, dia dan kumpulannya berhak menentukan nilai bayaran berdasarkan pengalaman dan reputasi mereka.
“Setiap artis, termasuk Barbarik, berhak menetapkan harga yang sesuai berdasarkan pengalaman, bakat, dan reputasi. Keputusan yang dibuat harus adil dan disepakati bersama oleh semua pihak,” tegasnya.
Konflik antara JoBranko dan Awie bermula sekitar tahun 2016, selepas JoBranko membuat keputusan untuk meninggalkan kumpulan Wings, dipercayai berpunca daripada konflik dalaman yang mencetuskan ketegangan antara kedua-dua pihak.