Iman’s League Pertaruh ‘Satu Suara’ Gandingkan Noh Salleh, Aska Rockers
- oleh MDaily Editor
- 24 May 2026 2:16 pm
Selepas hampir dua dekad mewarnai industri muzik, kumpulan melodic punk rock terkemuka Singapura, Iman’s League, kembali menggegarkan pasaran serantau menerusi pelancaran single terbaharu mereka berjudul Satu Suara.
Istimewanya kali ini, band yang ditubuhkan sejak 19 tahun lalu itu mempertaruhkan formula kolaborasi mega dengan menggandakan kekuatan vokal ikon rock Malaysia, Noh Salleh, serta figura punk rock terkenal Indonesia, Aska daripada kumpulan Rocket Rockers.
Gabungan tiga identiti muzik dari Singapura, Malaysia, dan Indonesia ini bukan sekadar satu eksperimen, malah membawa mesej yang cukup mendalam mengenai erti perpaduan, ketahanan, dan kebersamaan merentasi sempadan Nusantara.
Mengekalkan DNA melodic punk rock yang menjadi tanda dagang Iman’s League, Satu Suara diperkuatkan lagi dengan bait lirik yang penuh jiwa, melodi bertenaga, serta corak penyampaian yang sarat emosi.
Ia sekali gus mencerminkan kematangan serta evolusi muzikal yang dilalui oleh band ini sepanjang perjalanan seni mereka.
Bagi memastikan naskhah ini mendapat capaian maksimum di Malaysia, Iman’s League mengorak langkah strategik dengan menjalinkan kerjasama bersama label tempatan tersohor, Luncai Emas Sdn Bhd, yang bertindak selaku pengedar digital dan pentadbir hak cipta rasmi.
Pelancaran single berbahasa Melayu ini juga merupakan kesinambungan daripada fasa gemilang kumpulan berkenaan selepas memulakan tahun 2025 dengan siri jelajah Eropah yang meliputi Belanda, Perancis, Belgium, dan Jerman, selain pelancaran album studio kelapan mereka, Where Do We Go From Here.
Sebagai pengukuhan terhadap promosi Satu Suara, Iman’s League dijadualkan bakal mengadakan siri jelajah khas ke Taiwan, Malaysia, dan Indonesia sepanjang bulan Mei dan Jun ini bagi bertemu peminat setia mereka secara dekat.
Sebelum ini, band yang pernah dinobatkan sebagai Band Terbaik dan Lagu Terbaik di Anugerah Planet Muzik (APM) 2015 itu sering menjadi perhatian pengkritik muzik antarabangsa sehingga pernah diberi penghormatan berkongsi pentas dengan nama-nama besar dunia seperti Sick of It All, Neck Deep, dan All Time Low.
Single Satu Suara kini sudah boleh didengari di semua pelantar penstriman digital utama, manakala video muzik rasmi lagu berkenaan juga sedia ditonton menerusi saluran YouTube bermula 15 Mei lalu.
