Ikuti Kami:

Iman Fandi Dedikasi Lagu ‘Hari Raya Raya Raya’ untuk Keluarga & Peminat

Iman Fandi Dedikasi Lagu ‘Hari Raya Raya Raya’ untuk Keluarga & Peminat

Penyanyi muda berbakat, Iman Fandi, menghadiahkan sesuatu yang istimewa kepada keluarga dan peminatnya sempena Hari Raya Aidilfitri tahun ini dengan pelancaran single terbarunya, Hari Raya Raya Raya.

Lagu ini bukan sekadar sebuah karya muzik, tetapi juga luahan kasih sayang dan penghargaan kepada orang tersayang yang menjadi tunjang dalam kehidupannya.

Sebagai seorang artis yang sedang meningkat naik, Iman ingin lagu ini menjadi simbol kebersamaan dan kegembiraan.

Menurutnya, Hari Raya Raya Raya bukan sekadar menceritakan tentang kemeriahan perayaan, tetapi juga menggambarkan kepulangan ke pangkuan keluarga serta detik-detik bermakna bersama insan tersayang.

“Hari Raya bagi saya adalah tentang keluarga, kebersamaan, dan mencipta kenangan indah. Lagu ini adalah hadiah istimewa saya kepada mereka yang menyambut Aidilfitri serta kepada peminat yang sentiasa menyokong perjalanan seni saya,” kata Iman.

Keistimewaan lagu ini bertambah apabila Iman melibatkan ahli keluarganya dalam proses rakaman.

Pengalaman merakam bersama bukan sahaja menghidupkan suasana penuh keceriaan, tetapi juga menjadikan lagu ini lebih peribadi dan bermakna buatnya.

“Merakam lagu ini dengan keluarga adalah pengalaman yang luar biasa. Ia menjadikan Hari Raya Raya Raya lebih daripada sekadar sebuah lagu perayaan, tetapi juga satu kenangan yang akan saya simpan selamanya,” tambahnya.

Dengan rentak yang ceria dan lirik yang menyentuh hati, Hari Raya Raya Raya menampilkan elemen tradisional seperti keseronokan berbuka puasa, persiapan baju raya, dan kegembiraan kanak-kanak menerima duit raya.

Iman berharap lagu ini dapat dinikmati oleh semua, tidak kira mereka yang menyambut Aidilfitri atau yang sekadar ingin merasakan kemeriahan perayaan ini.

Sebagai seorang artis yang ingin terus berkembang, Iman melihat lagu ini sebagai titik permulaan kepada lebih banyak projek yang mencerminkan identiti dan jati dirinya dalam industri muzik.

Single Hari Raya Raya Raya kini boleh didengarkan di semua platform penstriman digital sejak 28 Februari lalu.

Komen
Loading...