Ikuti Kami:

Ijmal Cinta Ramadan 2.0: Santapan Rohani & Hiburan Bersama Ikon Seni

Ijmal Cinta Ramadan 2.0: Santapan Rohani & Hiburan Bersama Ikon Seni

Sempena bulan penuh keberkatan, Ijmal Cinta Ramadan 2.0 kembali dengan gabungan elemen rohani dan hiburan yang bermakna.

Program anjuran HS Event & Ent Sdn Bhd ini dijadualkan berlangsung pada 21 Mac 2025 di Saloma, Kuala Lumpur, menjanjikan pengalaman yang menghidupkan jiwa dan menyentuh hati.

Menampilkan ikon seni tanah air – Ramlan Ram, Noorsila Amin, Zur Eda, Man Bai, Amir Ukays, Ameng Spring dan Zamani Slam, acara ini akan mengajak penonton menyelami keindahan Ramadan melalui persembahan istimewa yang menyatukan hiburan dan nilai spiritual.

Pengarah program, Mubarak Akhtar, menegaskan bahawa setiap persembahan disusun dengan teliti agar selari dengan suasana Ramadan.

“Kami ingin memberikan satu pengalaman yang bukan sekadar hiburan tetapi juga menyemarakkan semangat ibadah dan keinsafan,” katanya.

Selain nyanyian dan persembahan seni, program ini turut mengandungi aktiviti rohani seperti tadarus al-Quran, tazkirah, berbuka puasa berjemaah, solat tarawih, serta sesi khas bersama artis untuk berkongsi refleksi Ramadan mereka.

Ijmal Cinta Ramadan 2.0 bukan sekadar acara hiburan, tetapi juga platform untuk beramal dan berkongsi rezeki.

Sebahagian hasil jualan tiket akan disalurkan kepada anak-anak yatim dan golongan kurang berkemampuan.

Selain itu, 10 insan seni yang menghadapi kesulitan kesihatan dan kewangan turut akan diraikan dengan sumbangan khas menjelang Aidilfitri.

“Kami juga akan mengadakan sesi penyampaian duit raya kepada anak-anak yatim dan golongan yang memerlukan, agar kegembiraan Ramadan dan Syawal dapat dinikmati oleh semua,” tambah Mubarak.

Dengan gabungan muzik nostalgia, elemen spiritual, dan inisiatif kebajikan, Ijmal Cinta Ramadan 2.0 bakal menjadi sebuah acara yang mengisi jiwa dan mendekatkan penonton kepada nilai-nilai Ramadan.

Para peminat pastinya tidak mahu melepaskan peluang menyaksikan persembahan eksklusif daripada enam ikon seni tersohor ini.

Jangan lepaskan peluang untuk merasai malam penuh makna ini!

Komen
Loading...