Hyrul Anuar Hadiahkan Peminat dengan Lagu Raya Terbaru, Gara-Gara Raya!
- oleh Mohd Indera
- 1 minggu lalu

Bersempena 20 tahun penglibatannya dalam industri hiburan, penyanyi dan komposer asal Singapura, Hyrul Anuar, menghadiahkan peminat dengan single Hari Raya terbarunya yang berjudul Gara-Gara Raya!
Lagu ini hadir sebagai satu kejutan istimewa buat peminat yang telah mengikuti perjalanan seninya selama dua dekad.
Dikenali menerusi lagu-lagu Raya yang menyentuh jiwa seperti Mengenang Pemergianmu dan Dian Lebaran bersama AltoAura, kali ini Hyrul membawa kelainan dengan Gara-Gara Raya yang lebih ceria, menghiburkan, dan sarat dengan nostalgia.
Menggabungkan elemen tradisional dan moden, Gara-Gara Raya bukan sekadar lagu Raya biasa. Ia dicipta dengan tujuan untuk menghidupkan semula suasana perayaan dengan melodi yang rancak dan lirik yang dekat di hati. Hyrul juga menekankan kepentingan mengekalkan nilai-nilai murni dan adat dalam menyambut Syawal.
“Saya ingin menghasilkan lagu yang bukan sahaja menyeronokkan tetapi juga membawa makna mendalam. Semoga Gara-Gara Raya menjadi antara lagu wajib dalam setiap sambutan Raya,” kata Hyrul.
Lebih menarik, Gara-Gara Raya turut dilengkapi dengan video muzik yang menghiburkan arahan penyanyi tempatan, Haqim Mokhtar.
Manakala susunan muzik dan penerbitan pula dikendalikan oleh Kazhendra Kas Kazan, menjadikan karya ini lebih segar dan berwarna.
Sebagai tanda penghargaan buat peminat yang setia menyokongnya selama ini, Gara-Gara Raya kini boleh dinikmati di semua platform penstriman utama.
Raikan Syawal dengan keceriaan bersama lagu terbaru daripada Hyrul Anuar!