HULURKAN: Kolaborasi 7 Artis Nasyid Tanah Air Untuk Amal dan Dakwah Sempena Ramadan
- oleh Mohd Indera
- 2 minggu lalu

Menjelang ketibaan bulan Ramadan, Daqmie Music Factory dengan kerjasama Perkim Datuk Keramat mempersembahkan sebuah projek amal menerusi single nasyid berjudul HULURKAN.
Single ini menampilkan tujuh penyanyi nasyid terkenal tanah air, termasuk Mestica, Fine, Zaidi Wildan, Darwish, Shidee Khayran, Cahaya Hati, serta Daqmie sendiri.
Projek ini bertujuan untuk memperkukuhkan dakwah melalui seni nasyid sambil mengumpulkan dana bagi pelbagai inisiatif kebajikan sepanjang tahun.
Menurut pengasas Daqmie Music Factory, Daqmie, inspirasi lagu HULURKAN lahir daripada projek amal We Are The World yang menggabungkan artis terkemuka dunia bagi membantu krisis kebuluran di Ethiopia pada 1985.
“Seperti We Are The World, HULURKAN menyampaikan mesej kemanusiaan, kasih sayang dan kepentingan membantu golongan memerlukan. Sumbangan boleh diberikan dalam pelbagai bentuk – kewangan, barangan, tenaga, mahupun doa,” katanya.
Daqmie turut menjelaskan bahawa projek ini terhasil setelah beliau dilantik sebagai duta Perkim Datuk Keramat selama dua tahun. Beliau berharap lebih ramai penyanyi dan kumpulan nasyid akan terlibat dalam projek seumpama ini pada masa akan datang.
Sementara itu, Pengerusi Perkim Datuk Keramat, Suhaimi Abdul Aziz, berkata muzik adalah medium berkesan dalam menarik masyarakat untuk menyokong dakwah dan kerja kebajikan.
“Kami percaya single ini dapat meningkatkan kesedaran dan mengajak orang ramai untuk menyumbang kepada pelbagai usaha dakwah serta kebajikan yang kami jalankan,” ujarnya.
Dana yang dikumpulkan menerusi pelancaran HULURKAN akan disalurkan ke enam inisiatif utama, termasuk:
Kos operasi Rumah Mualaf PERKIM Datuk Keramat yang menempatkan 40 penghuni.
– Aktiviti dakwah dan pendidikan untuk saudara baru serta masyarakat bukan Islam.
– Pembelian van 18 tempat duduk bagi keperluan pengangkutan mualaf.
– Pembangunan Kompleks Dakwah Mualaf Mahmood di Puncak Alam bernilai RM3.5 juta.
– Pembangunan semula Sekolah Al Ummah dengan anggaran kos RM3.5 juta.
– Pengurusan Pusat Pengajian Al-Quran dan Fardu Ain Al Muqaddasah bagi menaja 15 pelajar asnaf dan anak-anak mualaf.
Lagu HULURKAN, yang mendapat sokongan daripada Yeop’s Kitchen, dirakamkan di studio Smart Audio dengan sentuhan komposer dan jurutera bunyi, Alfa Booty.
Arteffects Production milik Hafiz Hamidun bersama Sony Music Malaysia bertanggungjawab mengedarkan lagu ini, yang akan tersedia di semua platform digital bermula 28 Februari, tepat jam 12 malam.
Orang ramai yang ingin menyumbang atau mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi Perkim Datuk Keramat di talian 019-6039187 (Suhaimi) atau 018-2573069 (Hakim). Sumbangan juga boleh disalurkan melalui akaun CIMB Bank: 8600320562.