Hasil Aspirasi Menteri Agama, PU Riz Lancar Program Quranic Madani Pertama di Rumah Titian Kaseh
- oleh MDaily Editor
- 24 May 2026 8:53 pm
Seiring dengan aspirasi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan dalam membantu golongan asnaf dan masyarakat yang memerlukan, program Quranic Madani berjaya dilaksanakan di lokasi pertamanya di rumah kebajikan, Rumah Titian Kaseh, di sini baru-baru ini.
Program yang digerakkan oleh pendakwah bebas, Ustaz Muhammad Haris atau PU Riz itu terus menerima sambutan positif apabila program berteraskan pengajaran al-Quran dan tajwid itu menghimpunkan penghuni rumah kebajikan itu yang juga golongan asnaf dan kurang berkemampuan dalam usaha memperkukuhkan kefahaman serta bacaan al-Quran sejak usia muda.
PU Riz menyifatkan inisiatif berkenaan sebagai satu usaha murni yang wajar diperluaskan ke seluruh negara bagi memastikan penguasaan kitab suci itu dapat diterapkan secara menyeluruh.
“Alhamdulillah, hari ini kita akan mulakan sesi Quranic Madani ataupun sesi pengajaran al-Qur’an dan tajwid di Rumah Titian Kaseh ini. Bermula dengan anak-anak sekecil lapan tahun sampailah belasan tahun yang ada dalam kelas.
“Secara keseluruhan, Alhamdulillah sesi baik. Semua dapat manfaat,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, beliau berharap Quranic Madani dapat menjadi platform berterusan dalam melahirkan masyarakat yang celik al-Quran dan mampu membaca kitab suci itu dengan baik serta bertajwid.
“Alhamdulillah atas usaha ini, semoga semua orang di Kuala Lumpur, di seluruh Malaysia dapat belajar al-Quran dan membaca al-Quran dengan baik. Allahuakbar,” tambah beliau.
Program Quranic Madani dijangka diperluaskan ke beberapa lagi lokasi selepas ini sebagai usaha mendekati masyarakat dan memastikan pendidikan al-Quran dapat diakses oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang.
Terdahulu, Dr Zulkifli Hasan memaklumkan bahawa kerajaan berhasrat memperbesar skala penganjuran program kerohanian “Quranic MADANI” demi menyebarkan mesej kedamaian, kasih sayang, dan kebersamaan dengan lebih menyeluruh dalam kalangan masyarakat.
Program dengan pengisian selawat, zikir, munajat dan tazkirah itu ialah landasan penting dalam membentuk keharmonian negara.
