“Hari pertama Perdana Menteri telah memanggil saya dan berbincang” – Terima Kasih Perdana Menteri Dengar Hujan KKM – KP Kesihatan
- oleh Editor
- 4 tahuns lalu
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menzahirkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin atas kesudian beliau mendengar hujah dari penjawat awam sehingga berjaya meyakinkan kerajaan untuk mengambil tindakan yang tidak pernah dilakukan dalam sejarah iaitu mengisytihar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 atau Akta 342.
“Terima kasih kepada kepercayaan diberikan kepada penjawat awam, kerana apabila kita ada hujah yang kukuh dengan permodelan dan sebaginya, Perdana Menteri pun ambil keputusan untuk melaksanakan PKP yang pertama pada 18 Mac dan tindakan itu, walaupun negara jiran tidak laksanakan lagi dan kita adalah yang pertama dan cepat bertindak,” katanya.
Beliau berkata selepas dilantik sebagai Perdana Menteri ke-8, Tan Sri Muhyiddin Yassin terus mengadakan perbincangan dengannya bagi memastikan penularan COVID-19 di negara ini dapat dikawal dan dibendung serta-merta.
“Hari pertama Perdana Menteri telah memanggil saya dan berbincang mengenai dua isu iaitu yang pertama mengenai rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara dan kedua golongan tabligh yang pulang ke kampung dan dijangkakan akan berlaku wabak di semua negeri.
“Ketika itu juga kita cuba gunakan kaedah kita dan libat urus dengan agensi lain contohnya pada 10 Mac kita maklumkan kalau boleh kita elakkan solat Jumaat kerana golongan tabligh telah pun balik ke kampung dan susulan itu negeri Perlis telah ambil tindakan tersebut dan pada 15 Mac pula kerajaan putuskan tidak ada solat Jumaat dalam tempoh dua minggu,” katanya.
Dr Noor Hisham berkata demikian dalam program siaran langsung Temu Minda: Di Sebalik Tabir KKM Memerangi Wabak COVID-19 bersama Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah.
Dr Noor Hisham percaya tindakan yang diambil kerajaan termasuk mengawal sempadan negara juga telah berjaya melandaikan lengkungan kes positif COVID-19 di negara ini, sekali gus mengalahkan unjuran JP Morgan mengenai kumulatif kes COVID-19 di Malaysia.