Ikuti Kami:

Gadis bermotosikal jatuh berguling di jalan selepas diragut

Gadis bermotosikal jatuh berguling di jalan selepas diragut

KLANG: Polis Klang Selatan mengesahkan kejadian ragut sehingga menyebabkan seorang mangsa perempuan jatuh di jalan raya di Persiaran Raja Muda Musa berhadapan Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Zarina, Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata pihaknya menerima laporan daripada mangsa, seorang warga tempatan berusia 20 tahun pada jam 4.34 petang hari sama.

“Siasatan mendapati, kejadian jam 8.50 pagi ketika mangsa yang menunggang motosikal dalam perjalanan ke tempat kerja.

“Semasa melalui lokasi kejadian, tiba-tiba suspek yang menaiki sebuah motosikal datang dari arah belakang mendekati mangsa dan menarik beg yang disilang di badan mangsa.

“Akibat situasi itu, mangsa hilang Kawalan lalu terjatuh dari motosikal ke jalan serta cedera,” katanya dalam kenyataan.

Mangsa sudah menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang.

Siasatan mendapati, beg silang mangsa yang diragut suspek mengandungi telefon bimbit jenis iPhone 14 berwarna ungu, dompet berisi dokumen peribadi serta wang tunai RM114.

Suspek adalah seorang lelaki dewasa menunggang motosikal dipercayai jenis Yamaha Y15 warna gelap.

Polis sedang mengenal pasti suspek kejadian ini dan tangkapan akan dibuat dalam masa terdekat. Polis membuka satu kertas siasatan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

Katanya, polis juga sedang mendapati beberapa video berkaitan perbuatan suspek tular di media sosial.

Polis menasihatkan orang awam agar tidak menularkan video terbabit bagi mengelakkan kegusaran masyarakat setempat.

Sumber
Komen
Loading...